Dua jemaah Malaysia meninggal dunia ketika laksana umrah

Gambar yang sempat dirakamkan menunjukkan Abdul Rahman (depan, berkerusi roda) bersiar-siar sekitar Masjid Nabawi di Mekah bersama keluarga. Gambar kecil: Sarinah
Gambar yang sempat dirakamkan menunjukkan Abdul Rahman (depan, berkerusi roda) bersiar-siar sekitar Masjid Nabawi di Mekah bersama keluarga. Gambar kecil: Sarinah
A
A
A

MAKKAH - Dua jemaah umrah Malaysia meninggal dunia dalam tempoh kurang 48 jam semalam ketika masing-masing dalam tempoh melakukan ibadah umrah di sini.

Jemaah pertama, Abdul Rahman Che Ros, 58, dari Kampung Kelubi, Jitra, Kedah dilaporkan terjatuh ketika mahu membancuh minuman di bilik penginapan di Double Tree Hotel selepas selesai sembahyang Jumaat di Masjidil Haram.

Menurut Mutawif Fadlim Travel & Tours, Mohd Firdaus Othman berkata, Abdul Rahman yang juga bekas kakitangan Bernas menggunakan kemudahan kerusi roda berikutan masalah pada bahagian kaki ketika mengerjakan umrah.

"Walaupun menggunakan kerusi roda namun arwah tetap bersemangat untuk beribadat kerana difahamkan arwah banyak menghabiskan masa di Raudhah ketika di Madinah selain berjaya menyelesaikan umrah di Makkah," katanya.

Beliau berkata, urusan pengebumian berjalan lancar dibantu Konsulat Kedutaan Malaysia Di Jeddah, Datuk Mohd Rais A Rahim Johar.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Raja Abdul Aziz, Zaher.

"Jenazah dimandikan di Tempat Pengurusan Khairat Kematian Jamek Muhajirin, Makkah sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Syaraek selepas solat Subuh pagi ini (Sabtu)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bacaan tahlil di bilik hotel dilakukan jemaah umrah sebaik sahaja dimaklumkan tentang berita arwah kematian Abdul Rahman.
Bacaan tahlil di bilik hotel dilakukan jemaah umrah sebaik sahaja dimaklumkan tentang berita arwah kematian Abdul Rahman.

Sementara itu, isterinya, Shuzana Othman, 50 berkata, arwah ada menyatakan keinginan untuk meninggal dunia di Makkah.

"Sebelum tiba di sini, arwah cakap benda yang sama berkali-kali, (kalau pi ni...tak tau balik ke tidak)," katanya.

Menurutnya, arwah selalu berpesan supaya jangan merungut jika diuji dengan pelbagai penyakit selain mempercepatkan solat fardu.

"Selalunya kami jumpa di dewan makan tetapi semalam, arwah tidak makan bersama kerana pergi ke Masjidil Haram untuk sembahyang Jumaat bersama rakan lelaki.

"Selepas solat Jumaat, dia terus makan dan naik ke bilik penginapan. Ketika itu dikatakan arwah mahu membancuh air tetapi secara tiba-tiba terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.

Difahamkan, arwah seorang yang ringan tulang kerana sering membantu ahli keluarga lain yang memerlukan bantuan.

"Saya reda dan bersyukur urusan pengebumian lancar. Terima kasih kepada semua yang membantu memberikan kerjasama," katanya.

Bagaimanapun, belum sampai 24 jam urusan pengebumian Abd Rahman selesai, kumpulan jemaah sama menerima perkhabaran duka seorang jemaah wanita tidak sedarkan diri dalam bas hari semalam. (Sabtu).

Sarinah Romli, 55, dari Bandar Amanjaya Sungai Petani dilaporkan meninggal dunia kira-kira 15 minit selepas bas bergerak dari hotel penginapan sama, menuju ke Lapangan Terbang Jeddah dalam keadaan masih bertelekung.

Menurut Mohd Firdaus, kejadian disedari rakan lain setelah melihat keadaan arwah yang kaku.

"Apabila dipanggil, tiada respons...arwah kemudian disahkan meninggal dunia selepas pemeriksaan perubatan," katanya

Urusan pengebumian kedua-dua jemaah Malaysia itu dilaksanakan di Makkah.
Urusan pengebumian kedua-dua jemaah Malaysia itu dilaksanakan di Makkah.

Urusan pengebumian bagaimanapun diuruskan Mutawif Fadlim Travel and Tours sementara ahli jemaah lain meneruskan perjalanan pulang mengikut jadual ditetapkan.

Difahamkan, beberapa hari lepas, beliau ada menceritakan tentang arwah ibunya yang muncul dalam mimpi sebelum dihadiahkan sepasang telekung hitam.

Menurut Mohd Firdaus, kematian kedua-dua jemaah dicemburui kerana berakhir dengan husnul khotimah di mana Abdul Rahman meninggal dunia pada hari Jumaat dan Sarinah pula baru selesai menunaikan umrah dalam keadaan bertelekung.