Muafakat Nasional perlu sokongan semua peringkat

Khairil Nizam (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Menengah Integrasi Terasi Islam (SMITI) At-Ta'alim Seri Iskandar di sini semalam.
Khairil Nizam (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Menengah Integrasi Terasi Islam (SMITI) At-Ta'alim Seri Iskandar di sini semalam.
A
A
A

SERI ISKANDAR - Muafakat Nasional memerlukan sokongan semua peringkat masyarakat bukan sahaja golongan bawahan untuk memerintah Malaysia.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, bukan itu sahaja, muafakat diteraju Pas dan UMNO itu juga memerlukan sokongan masyarakat bukan Islam.

Menurutnya, pembentukan Muafakat Nasional dilihat berjaya menyatukan umat Islam di negara ini malah tindakan UMNO meminda Perlembagaan parti mereka dengan Islam sebagai dasar parti mengukuhkan lagi teras gabungan tersebut.

"Kalau pembangkang melalui Muafakat Nasional kita nak memerintah Malaysia kita tak boleh tengok golongan bawahan sahaja, kita perlukan sokongan golongan pertengahan dan atasan. Kalau kita nak memimpin Malaysia, kita juga perlu mendapat sokongan bukan sahaja dalam kalangan orang Islam tetapi bukan Islam.

"Gabungan parti teras melibatkan Pas dan UMNO ini akan menghimpunkan umat Islam tanpa mengetepikan kawan-kawan bukan Islam khususnya dari negeri Sabah dan Sarawak," katanya kepada Sinar Harian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Menengah Integrasi Terasi Islam (SMITI) At-Ta'alim Seri Iskandar di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pemuda Pas Perak, Ahmad Faisal Mohd Puait; Ketua Pengarah SMITI Malaysia, Hashan Aladi Ahmad; Pengarah SMITI Perak, Dr Khalid Mat; Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Parit, Zawawi Ghazali; Ketua Pemuda Pas Kawasan Parit, Mohd Zahid Abu Bakar dan Pengerusi SMITI Kawasan Parit, Mohd Kamal Hamidi Mohd Nasir.

Khairil Nizam berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kajian yang dilakukan Emir Research bahawa golongan bawahan tidak memberikan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebaliknya cenderung kepada Pas dan UMNO.

Menerusi kajian tersebut, PH masih mendapat sokongan rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan tinggi dan sederhana.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kemerosotan sokongan rakyat kepada kerajaan hari ini didorong rasa marah akibat janji pilihan raya yang tidak ditepati.

"Setakat hari ini, kita tidak nampak lagi perkara-perkara yang dibicara dan ditulis secara mudah oleh mereka-mereka di dalam PH sebelum pilihan raya yang mereka dijaja di dalam ceramah-ceramah ditunaikan.

"Mereka tidak mampu dan gagal melaksanakannya sekarang. Bukan sahaja golongan bawahan yang tidak menyokong tetapi golongan M40 juga turut marah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Rakyat berpendapatan tinggi sederhana sokong PH

Dalam pada itu, beliau berkata, Pemuda Pas optimis Muafakat Nasional akan didaftarkan sebagai pertubuhan tahun hadapan.

Katanya, selepas piagam termeterai di antara Pas dan UMNO pada 14 September lalu, item-item yang terdapat pada piagam tersebut dipertontonkan kepada masyarakat.

Katanya, selepas gabungan itu diinstitusikan, parti-parti lain yang bersetuju dengan teras yang telah ditetapkan dalam muafakat nasional akan dijemput.