Suu Kyi dulu ikon demokrasi, kini...


Suu Kyi menjadi tumpuan lensa jurugambar dari seluruh dunia pada hari kedua pendengaran kes genosid ke atas Rohingya di Istana Keamanan di The Hague pada Rabu lalu. - FOTO: AFP
Suu Kyi menjadi tumpuan lensa jurugambar dari seluruh dunia pada hari kedua pendengaran kes genosid ke atas Rohingya di Istana Keamanan di The Hague pada Rabu lalu. - FOTO: AFP
A
A
A

BAGI Aung San Suu Kyi, tanggal 10 Disember pasti menjadi tarikh yang tidak akan dilupakan apabila beliau menerima Hadiah Nobel Keamanan pada 1991.

Individu di bawah lima kategori menerima pengiktirafan pada tarikh sama setiap tahun sebagai memperingati kematian pereka dari Sweden, Alfred Nobel.

Menerusi wasiatnya, Nobel berhasrat untuk memberikan satu perlima daripada kepentingan dananya kepada individu yang telah berbakti untuk mewujudkan keamanan pada sesebuah negara.

Kira-kira 28 tahun lalu, Suu Kyi dipilih untuk menerima pengiktirafan itu malah beliau juga pernah digelar sebagai salah seorang 'Anak Gandhi' oleh majalah Time pada 1999 atas komitmennya menolak keganasan.

Perjuangan menuntut demokrasi dilancarkan anak kepada Jeneral Aung San yang pernah dikenakan tahanan rumah selama 15 tahun itu telah menjadikan beliau kesayangan media arus perdana.

Sejak beberapa tahun lalu, sikapnya terhadap etnik Rohingya telah mencalarkan imej beliau sebagai pemimpin prodemokrasi.

Tindakan Suu Kyi berdiam diri terhadap genosid dan pembersihan etnik yang dilancarkan ke atas golongan itu mengejutkan banyak pihak.

Ia sekali gus mendedahkan sisi berbeza beliau selepas Pilihan Raya Umum di Myanmar yang membawa kemenangan kepada parti pimpinannya, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pada 2015.

Artikel Berkaitan:

Pelarian Rohingya terpaksa tinggal di kem sesak di Cox's Bazar selepas melarikan diri daripada kekejaman di Rakhine pada 2017. - FOTO: AFP
Pelarian Rohingya terpaksa tinggal di kem sesak di Cox's Bazar selepas melarikan diri daripada kekejaman di Rakhine pada 2017. - FOTO: AFP

Pendiriannya semakin jelas ketika beliau memberi keterangan berhubung dakwaan tentera melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik Rohingya yang dikemukakan oleh Gambia di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague pada Rabu lalu.

Sikap berdiam diri secara berterusan yang dipamerkan Suu Kyi terhadap isu tersebut malah beliau juga enggan menggunakan istilah 'Rohingya' menyebabkan banyak pihak menggesa supaya Hadiah Nobel Keamanan yang diberikan kepadanya ditarik balik.

Peguam Negara Gambia yang juga Menteri Kehakiman, Abubacarr Marie Tambadou mengetuai pasukan undang-undang bagi menarik perhatian global terhadap kekejaman yang dilakukan tentera Myanmar untuk menghapuskan populasi etnik minoriti Islam terbabit.

Gambia yang mendapat sokongan daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan berani bersuara tentang hak orang tanpa kerakyatan seperti dialami penduduk Rohingya.

Sebelum ini, banyak pihak meletak harapan tinggi untuk melihat Penasihat Negara itu mengubah pendiriannya terhadap isu Rohingya di The Hague.

Namun, Suu Kyi tetap mempertahankan tindakan kekerasan yang dilakukan tentera terhadap kumpulan pejuang Rohingya.

Kenyataan beliau dijangka meningkatkan lagi kebimbangan dalam kalangan pelarian Rohingya yang sebelum ini menolak usaha penghantaran pulang ke Myanmar.

Sejak lebih dua dekad lalu, seramai 1.1 juta penduduk Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh akibat gelombang keganasan di Rakhine.

Etnik tidak diiktiraf

Penduduk Rohingya meliputi sejuta daripada 50 juta populasi di negara majoriti penganut Buddha itu.

Mereka berasal dari barat laut negara itu dan bercakap dialek Bengali dan kebanyakannya tinggal di Rakhine, sebuah negeri paling miskin dan mempunyai populasi penduduk seramai tiga juta orang.

Golongan itu bagaimanapun tidak diiktiraf sebagai salah satu daripada 135 etnik rasmi malah dinafikan hak kerakyatan di bawah Undang-undang Kewarganegaraan Myanmar 1982.

Sekumpulan pelarian Rohingya menyaksikan secara langsung ketika Suu Kyi memberikan keterangan di ICJ di The Hague. - FOTO: AFP
Sekumpulan pelarian Rohingya menyaksikan secara langsung ketika Suu Kyi memberikan keterangan di ICJ di The Hague. - FOTO: AFP

Untuk mendapatkan kerakyatan, mereka perlu mengemukakan bukti pernah tinggal di Myanmar selama 60 tahun, namun kertas kerja seperti itu biasanya tidak diberikan kepada golongan itu.

Oleh itu, penduduk Rohingya berdepan sekatan termasuk hak untuk bergerak, bekerja, berkahwin, mengamalkan agama dan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

"Suu Kyi pernah memanggil kami Rohingya sebelum pilihan raya pada 2015. Namun, keadaan mula berubah sejak beliau dilantik sebagai Penasihat Negara.

"Ikon demokrasi itu juga menggesa kerajaan supaya tidak menggunakan istilah Rohingya atau Bengali sebaliknya merujuk etnik tersebut sebagai 'orang Islam dari Rakhine'. Beliau sekali lagi gagal mengiktiraf identiti kami. Pendirian beliau akan kekal diingati dalam sejarah dunia.

"Ini adalah kali pertama penerima Hadiah Nobel Keamanan mempertahankan genosid di mahkamah tertinggi antarabangsa," kata aktivis dan pengasas bersama Free Rohingya Coalition, Ro Nya San Lwin yang kini tinggal dalam buangan di Jerman dan sanggup ke The Hague untuk mengikuti perbicaraan itu. - Agensi