Pasangan warga emas tamatkan pengajian di KQT

Mohd Suhimin dan isterinya, Rukiah dikelilingi anak-anak yang turut hadir meraikan kejayaan mereka menamatkan pengajian di KQT.
Mohd Suhimin dan isterinya, Rukiah dikelilingi anak-anak yang turut hadir meraikan kejayaan mereka menamatkan pengajian di KQT.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Usia bukan penghalang bagi pasangan warga emas mendalami al-Quran apabila berjaya menamatkan pengajian dalam Sijil Al-Dirasat Al-Quraniyah dalam Imaratul Ilmi Konvokesyen ke-1 Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) semalam.

Lebih membanggakan, Mohd Suhimin Che Zakaria, 64, turut menerima anugerah Imam Ibn Tohhan Al-Andalusiy kerana cemerlang dalam kuliyyah al-Furqan.

Mohd Suhimin yang merupakan bilal di masjid Kampung Teluk Pasu dan isterinya, Rukiah Muda, 64, menghabiskan masa selama enam tahun mengikuti pengajian kursus al-Ulum al-Quraniyyah dan kursus al-Dirasat al-Quraniyyah.

Pesara itu berkata, beliau mengambil keputusan mendalami al-Quran secara serius di KQT selepas bersara bersama isterinya kerana sedar akan kepentingannya dan bersyukur dapat menghabiskan pengajian meskipun adakalanya berdepan dengan masalah kesihatan.

“Al-Quran ini sepanjang masa kita kena belajar, walaupun sudah tua kita tidak patut tidak tahu al-Quran. Al-Quran itu penting kerana (melaluinya) tuhan cakap dengan kita, firman kepada kita,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Meskipun sudah menamatkan pengajian, Mohd Suhimin berkata, beliau masih tidak puas untuk belajar tentang al-Quran dan turut mengikuti kelas membetulkan bacaan dengan seorang pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) setiap hujung minggu.

Dengan ilmu yang diperolehi, beliau kini mengajar al-Quran dan bahasa Arab kepada jiran serta individu berminat tanpa menetapkan bayaran dan berasa bertuah kerana 13 anaknya berusia antara 39 hingga 15 tahun menyokong minatnya.

“Selain anak-anak, saya ingin mendorong semua orang belajar al-Quran tanpa mengira umur kerana ia merupakan kalamullah. Bukan hanya semata-mata belajar al-Quran untuk baca tapi kena tahu tafsir dia, apa tujuan al-Quran diturunkan supaya kita tahu apa perintah ALLAH SWT kepada kita untuk kita selamat dunia akhirat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Taufiq bersama ibu bapanya melihat diploma yang diperolehinya selepas berjaya menamatkan pengajian di KQT.
Mohamad Taufiq bersama ibu bapanya melihat diploma yang diperolehinya selepas berjaya menamatkan pengajian di KQT.

Penerima anugerah Imam Ibn Kathir iaitu anugerah Ketua Eksekutif, Mohamad Taufiq Yusoff, 20, pula berkata, dia nekad menyambung pengajian dalam al-Quran di KQT walaupun memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana ingin bergelar pensyarah dalam bidang tersebut.

“Saya ingin jadi pensyarah dan ilmu awal yang ingin saya belajar adalah al-Quran dan bahasa Arab. Insya-ALLAH saya berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang sama di Universiti Madinah pula,” katanya yang merupakan anak kesembilan dari 10 beradik.

Anak kepada pasangan Yusoff Abdullah, 62, dan Ramlah Embong dari Kampung Titian Baru yang mengambil Diploma Tahfiz Al-Quran dan Bahasa Arab itu berjaya bergelar hafiz dalam tempoh tiga tahun.

“Masa mula-mula dulu agak sukar juga bagi saya untuk belajar ilmu al-Quran dan akademik dalam satu masa. Kemudian saya jumpa rentak dengan bahagikan masa belajar.

“Selepas Subuh hingga jam 11 pagi saya belajar al-Quran dan bermula jam 11 pagi hingga masuk waktu Asar belajar akademik pula. Alhamdulillah saya berjaya habiskan pelajaran,” katanya yang sudah didedahkan dengan ilmu agama sejak kecil.