Asia Challenge 2020 platform Red Giants ketuk pintu Asia

Dr Johan Kamal (kiri) bersama Pengarah Urusan ANF Logistik Sdn Bhd, Meor Mohd Fadzlan selepas pada sidang media sempena Asia Challenge 2020 di Stadium Shah Alam hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Dr Johan Kamal (kiri) bersama Pengarah Urusan ANF Logistik Sdn Bhd, Meor Mohd Fadzlan selepas pada sidang media sempena Asia Challenge 2020 di Stadium Shah Alam hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

PENGANJURAN Asia Challenge 2020 anjuran Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 19 Januari tahun depan diharap menjadi langkah pertama The Red Giants dalam usaha mengetuk kembali pintu Asia.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, kejohanan yang boleh disifatkan sebagai edisi sulung pra musim itu juga adalah sebagai petanda The Red Giants komited untuk kembali ke pentas Asia dalam jangka masa panjang.

Menurutnya, buat permulaan Asia Challenge 2020 edisi Asean berkonsepkan liga ini akan melibatkan penyertaan kelab dalam kalangan negara Asean seperti Hanoi FC dari Vietnam, Bangkok United (Thailand) dan Persib Bandung (Indonesia).

"Penganjuran berkonsepkan karnival dua hari ini juga akan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti samping lain seperti aktiviti e-sukan, pembukaan booth yang mempamerkan keunikan kepelbagaian dalam kalangan negara Asean.

"Saya percaya kejohanan seumpama ini tidak hanya akan merakyatkan bola sepak dalam kalangan penyokong Selangor tetapi juga penyokong kelab negara Asean berkenaan yang terdapat di negara ini.

"Kejohanan ini juga akan membolehkan The Red Giants menyusun strategi pada masa sama memperbaiki kelemahan bagi merealisasi hasrat melayakkan diri bersaing di peringkat Asia pada 2021," katanya semasa sidang media di Stadium Shah Alam, hari ini.

Mengenai tahap keselamatan beliau berkata, FAS juga memberi jaminan keselamatan terbaik dengan kerjasama polis kepada penyokong.

Penyokong boleh mendapatkan tiket bagi kejohanan tersebut menerusi laman web FAS atau pada hari kejohanan dengan harga RM15 bagi pemegang kad Red Giants dan RM30 bagi bukan pemegang kad manakala untuk kanak-kanak adalah RM5.

Artikel Berkaitan: