X

Kindly register in order to view this article
!

Peluang kedua kepada bekas banduan

A
A

PENJARA daripada segi definisi bermaksud tempat mengurung orang yang dihukum kerana membuat kesalahan. Kata sinonim bagi penjara ialah jel, lokap, kurungan dan rumah pasung. Penjara turut disebut dalam al-Quran melalui kisah Nabi Yusuf AS.

Nabi Yusuf berkata: Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika Engkau tidak hindarkan daripada aku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh." (Surah Yusuf, ayat 33).

Penjara pada zaman Rasulullah SAW sangat berbeza dengan penjara pada zaman sekarang. Pada zaman Rasulullah, penjara tiada tempat khusus; pesalah hanya diikat di pagar. Namun, apabila bertambahnya bilangan pesalah ketika pemerintahan Khalifah Umar Khattab telah dibina penjara pertama yang terletak di Makkah. Penjara tersebut merupakan rumah Shafwan Umayyah yang dibeli dengan harga 4,000 dirham.

Saidina Ali Abi Thalib semasa pemerintahannya juga telah mendirikan tempat tahanan yang dikenali sebagai Penjara Nafi'. Oleh kerana struktur bangunan yang tidak kukuh, ramai tahanan berjaya melarikan diri. Selepas kejadian tersebut, sebuah penjara yang lebih kukuh telah didirikan dan diberi nama Mukhayis. Ia disebut sebagai bangunan penjara pertama dalam sejarah Islam.

Zaman kini, bangunan penjara dibina daripada konkrit manakala pintu dan jendela daripada besi yang kukuh.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar, sebanyak 25 daripada 38 penjara di seluruh negara yang menempatkan sebanyak 74,000 banduan mengalami kesesakan kerana jumlah itu melebihi kapasiti yang dapat ditampung iaitu 52,850 banduan.

Persoalan yang tidak kurang pentingnya yang ingin saya utarakan adalah apa yang akan terjadi kepada beribu-ribu bekas banduan ini apabila mereka keluar dari penjara? Bagaimanakah penerimaan masyarakat terhadap mereka?

Bekas banduan terpaksa menerima hakikat bahawa mereka tidak mudah diambil bekerja memandangkan masyarakat secara umumnya masih berpendirian 'kerbau tanduk panjang, tiada menanduk pun dikata orang menanduk juga'. Maksudnya sama dengan perumpamaan bahasa Inggeris, once a thief, always a thief.

Biarpun sering diingatkan melalui ceramah dan sebagainya, orang ramai rata-rata masih beranggapan perangai manusia tidak akan berubah. Kalau pernah buat jahat, ia tentu akan mengulanginya.

Namun, bukan semua bekas banduan begitu. Ada yang dikurniakan hidayah dan benar-benar insaf ketika di penjara.

Malah, ada juga yang terpenjara kerana berada di tempat yang salah pada masa yang salah. Bagi golongan sebegini, adakah wajar mereka dihukum selama-lamanya?

Jika begitu keadaannya dan sikap kita, ia boleh menjadi faktor yang menyebabkan mereka terus melakukan kesalahan yang sama kerana sudah tiada pilihan lain bagi meneruskan hidup.

Baru-baru ini, saya menghadiri majlis pelancaran produk makanan dan fabrik berjenama My Pride di pasar raya Ko-Ummah di Lundang, Kota Bharu. Terdapat produk sejuk beku, kek lapis serta pakaian batik, tenun dan juga songket yang dihasilkan oleh banduan di Penjara Pengkalan Chepa.

Ia antara hasil program pemulihan Jabatan Penjara bagi memberi para banduan peluang kedua setelah mereka keluar dari penjara. Pelbagai latihan diberi bagi menghasilkan produk yang berkualiti tinggi mengikut piawaian yang ditetapkan, termasuk pengesahan dan logo halal Jakim.

Selain itu, produk lain yang dihasilkan oleh Jabatan Penjara dan menggunakan jenama My Pride juga adalah produk berasaskan besi, perabot kayu dan rotan, kraftangan dan ukiran, simen ferro, dan seramik.

Dengan usaha itu, banduan yang telah dibebaskan mempunyai peluang meneruskan hidup sebagai usahawan tanpa perlu menagih simpati untuk mendapatkan kerja.

Jabatan Penjara turut melakukan program pemulihan banduan dengan kerjasama pihak swasta di sektor pembuatan, perladangan, perindustrian dan perkhidmatan menerusi sistem parol bagi membolehkan banduan menyesuaikan diri lebih awal bersama masyarakat dan memudahkan mereka kembali berperanan menjadi insan berguna.

Semoga peluang kedua yang diberikan dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua bekas banduan.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus