X

Kindly register in order to view this article
!

Atas nama demokrasi...

A
A

DEMOKRASI ialah salah satu kaedah pemerintahan dalam sesebuah negara.

Negara di dunia mempunyai pelbagai cara untuk diperintah. Malah, demokrasi itu sendiri terdiri daripada pelbagai jenis yang berbeza antara satu sama lain.

Ada juga negara yang mengubahsuai kaedah demokrasi agar ia menjadi selari dengan norma lazim tempatan sesebuah negara.

Di Malaysia sendiri, sistem demokrasi tidak dijelaskan dengan terperinci di dalam Perlembagaan Persekutuan walaupun ia diamalkan di dalam negara. Perkataan demokrasi itupun sebenarnya tidak wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mungkin ramai yang keliru adakah demokrasi itu merupakan matlamat yang hendak dicapai ataupun ianya sekadar merupakan alat untuk mentadbir negara. Jika ia merupakan matlamat segala upaya hendaklah dilakukan ke arah mencapai matlamat tersebut namun jika ianya sekadar alat, alat tersebut boleh diperbaiki tatkala kita mendapati ia sudah usang, tidak efektif ataupun sudah rosak.

Atas nama demokrasi kita lihat hari ini, pelbagai perkara baik dan buruk berlaku di dalam negara tidak kiralah sama ada kerajaan sekarang atau terdahulu.

Persoalannya adakah rakyat hanya perlu menunggu PRU untuk menzahirkan sokongan atau bantahan mereka. Adakah demokrasi hanya berlaku semasa pengundian umum sahaja dan tidak dalam isu-isu spesifik. Saya mengambil contoh pengundi mengundi semasa PRU memilih wakil rakyat mereka. Setelah wakil rakyat mereka dipilih, adakah semua keputusan diletakkan kepada wakil rakyat mereka untuk mengundi di dewan legislatif?

Sangat nadir kita mendengar wakil-wakil rakyat berunding dengan pengundi mereka bagaimana untuk berbahas atau mengundi di Parlimen. Apa yang sering kita dengar ialah wakil rakyat mengundi di Parlimen mengikut arahan parti masing-masing.

Oleh yang demikian usaha merakyatkan demokrasi itu masih lagi jauh panggang dari api.

Atas nama demokrasi sekarang kita lihat norma lazim kita sudah mula mahu diubah kerana mendakwa memiliki suara terbanyak di Parlimen. Isu-isu yang suatu ketika dahulu tiada kompromi seperti LGBT, komunis, liberal, hak asasi terlampau dan banyak lagi mahu dinormalisasi kini.

Natijahnya negara akan bergerak lebih ke kiri menanggalkan pakaian budaya, menyemai nilai asing dan mementingkan hak diri berbanding hak awam.

Berbalik kepada sistem demokrasi ini, pada pandangan saya demokrasi bukanlah suatu yang dilakukan hanya di dalam pilihanraya sahaja. Ia sebenarnya jauh menjangkau aspek-aspek yang lain.

Sebab itulah saya kurang bersetuju apabila semua perkara perlu dibawa ke Parlimen untuk dibentang dan dibahaskan. Ini adalah disebabkan ahli-ahli Parlimen yang dipilih semasa pilihanraya acapkali tidak mewakili pengundinya di dalam sesuatu isu.

Aspirasi

Pilihanraya bukan memberikan persetujuan umum kepada semua isu kepada wakil rakyat. Tidak ada mekanisme juga pengundi sesebuah konstitusi memecat wakil rakyat yang mereka sudah pilih tersebut.

Mungkin sudah sampai masanya melihat semula demokrasi dalam konteks pilihanraya umum ini.

Ahli legislatif yang dipilih hendaklah benar-benar membawa aspirasi rakyat merasai denyut nadi pengundi dan memperjuangkannya selepas berunding dengan mereka.

Sistem syura dan hisbah yang diamalkan Islam mungkin boleh berperanan di dalam memperbaiki kelompangan yang ada di dalam amalan demokrasi ini. Suara rakyat adalah suara keramat, suara ini tidak boleh disekat dengan dibayangi oleh sistem demokrasi.

Demokrasi itu sendiri tidaklah boleh mengatasi undang-undang, oleh yang demikian ia perlu dipimpin oleh badan yang berotoriti dan dihormati.

Badan tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Majlis Raja-Raja. Sudah sampai masanya kita melihat kembali kesesuaian sistem demokrasi ini untuk diterapkan selaras dengan norma lazim tempatan dan budaya kita.

Sudah banyak kita melihat undang-undang dan peraturan yang dibuat majoriti ahli legislatif yang mendakwa mendapat mandat rakyat majoriti tidak selari dengan kemahuan masyarakat umum.

Namun masyarakat umum tidak mempunyai wadah untuk mengatakan sebaliknya.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!