X

Kindly register in order to view this article
!

Susun semula FGV untuk pulih Felda

A
A

KOLUM: ASAM PEDAS

PROSES pengambilan alih, penggabungan dan penyusunan semula korporat tidaklah semudah yang kita baca atau dengar di media massa.

Apa yang dilaporkan hanyalah ringkasan berdasarkan kefahaman pemberita dan pengarang serta kemampuan mereka memperoleh maklumat. Proses sebenar jauh lebih rumit dan kompleks.

Kita boleh ambil langkah pengkorporatan (corporatisation) sebahagian kegiatan dan harta Felda sebagai contoh kerana ia mempunyai kesan politik, ekonomi dan sosial yang cukup besar kepada negara.

Perkara ini berlaku pada tahun 2012 apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) atau lebih tepat Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, mengambil keputusan mengkorporat aset Felda melalui Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

Harta Felda seperti ladang, kilang perahan kelapa sawit, pengangkutan, penyimpanan, pengilangan hiliran dan pemasaran dijual kepada FGV.

Felda dibayar tunai RM6 bilion dan mendapat sebanyak 33.6 peratus saham dalam FGV. Koperasi Pelaburan Felda (KPF) yang dianggotai oleh peneroka dan kakitangan Felda memiliki lima peratus.

Saham GFV dijual kepada orang ramai melalui tawaran awam permulaan (IPO) dan diniagakan di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012.

Daripada sudut pasaran modal, IPO FGV amat berjaya. Walaupun harga terbitannya tinggi sejumlah RM4.55 seunit tetapi langganan berlebihan berkali ganda dan apabila perdangan dibuka harganya naik hingga RM5.46.

Saya tidak hairan kalau ada pembeli saham FGV yang dapat keuntungan modal beratus juta ringgit. Malangnya, keyakinan terhadap FGV tidak kekal lama.

Prestasi perniagaannya menghampakan dan harga sahamnya jatuh merudum. Pada satu peringkat tinggal 64 sen. Ini membebankan semua pihak khasnya Felda, KPF, peneroka dan kakitangan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah pun memberikan pelbagai bentuk bantuan yang kesemuanya bernilai RM6.3 bilion kepada Felda sejak menang Pilihan Raya Umum 2018.

Sekarang kerajaan sedang berusaha keras menyelesaikan masalah yang masih tertunggak secara jangka panjang dan lestari.

Matlamatnya adalah memberi balik kepada Felda ladang seluas 350,000 hektar (864,868.8 ekar) dan 65 buah kilang perahan. Aset ini adalah antara yang dipajak kepada FGV.

Sebelum dipajak, inilah dua sumber utama pendapatan Felda. Dengan pemulangan itu, bolehlah Felda membina semula dua sektor itu sebagai kegiatan huluan utamanya.

Saya dimaklumkan bahawa tidak ada masalah dan halangan besar dalam urusan pemberian balik ladang dan kilang kepada Felda kerana terkandung dalam perjanjia pajakan dengan FGV.

Perlu diulang sebut bahawa kebun milik peneroka tidak pernah dipajakkan kepada FGV.

Daripada aspek korporat, terdapat kemungkinan besar yang FGV ditukar menjadi syarikat sendirian berhad. Ini bermakna sesiapa juga yang berminat mengambil alih FGV perlu membeli semua saham FGV yang tidak dimilikinya.

Ini akan dilakukan melalui proses yang dipanggil tawaran awam wajib (mandatory general offer/MGO) di mana pihak yang berminat mengambil alih FGV akan membuat tawaran membeli semua saham FGV daripada semua pelabur.

Selalunya harga yang ditawarkan adalah lebih tinggi daripada harga pasaran.

Adalah dijangkakan yang Felda dan KPF akan terus menjadi pemegang saham FGV tetapi nisbah pemilikan mereka mungkin kecil sedikit daripada pelabur utama yang mengambil alih FGV.

Daripada pengalaman, saya menjangka Felda dan KPF akan memiliki sekitar 49 peratus saham setelah FGV dijadikan perusahaan sendirian berhad.

Kalau urus niaga ini berjaya, Felda akan melangkah setapak lagi ke hadapan untuk kembali kepada bentuk asalnya di mana ia mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh serta mampu menjaga kebajikan peneroka.

Insya-ALLAH.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!