X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Angkara media sosial

A
A

DI akhir-akhir ini ramai pemimpin yang menyatakan keluh kesah berkaitan kesan media sosial. Kecenderungan banyak pihak yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu melalui Facebook, Twitter dan Whatsapp yang diwujudkan untuk menyebar pelbagai kandungan palsu dan jelik. Tindakan negatif ini sebenarnya boleh memberi kesan buruk terhadap sosial, ekonomi dan keselamatan negara.

Ternyata media sosial kini dilihat menjadi platform pihak tertentu untuk menyebarkan fitnah yang ditular. Persoalannya, adakah pihak yang yang sengaja atau tidak sengaja mengetahui bahawa tindakan menular dan menyebarkan maklumat palsu boleh diambil tindakan undang-undang?

Walau apa pun yang dinyatakan berkaitan keburukan media ini, namun media sosial juga pencetus kepada isu yang dibuat liputan media massa. Contohnya dengan penyebaran video berkaitan lagu Negaraku dalam versi bahasa Mandarin telah membuka mata masyarakat. Begitu juga kontroversi bendera berbucu lima yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Penularan perhimpunan memperingati Parti Komunis Malaya juga dijuarai oleh penampilan media sosial. Perjumpaan yang sinonim dengan abu mendiang Chin Peng ke Malaysia juga menyedar dan menyentap perasaan ramai pihak.

Jelasnya media sosial sebagai wadah alternatif untuk dihidangkan kepada masyarakat. Namun angkara sesetengah pihak menjadikan agenda jahat perlu mendapat perhatian wajar.

Tindakan sengaja mencipta dan menularkan maklumat palsu untuk menjatuhkan reputasi atau imej individu, organisasi atau kerajaan dengan beri dan artikel tanpa fakta dan bukti terdorong kepada unsur fitnah. Perkara yang sama akan sering diulang atau diulang tayang. Kisah lama yang tidak memberi kesan 'direkabentuk' cara baharu sengaja dipahat dalam pemikiran rakyat agar membenci pemerintah dan pemimpin. Niatnya hanya lebih kepada persoalan untuk mendapatkan laba politik dan suatu penentuan agenda melalui media sosial.

Pada asasnya penyebaran maklumat palsu seperti ini merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang Negara. Sedangkan tindakan menyebarkan maklumat negatif untuk membuat atau mewujudkan kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Di bawah Seksyen 233 (1) akta yang sama, seseorang yang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang. Jika didapati bersalah mereka boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Apa yang lebih membimbangkan, maklumat palsu dan berunsur fitnah itu diterima bulat-bulat tanpa merujuk kepada sumber sahih dan kemudiannya menjadi viral sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara.

Malahan tindakan sesetengah pihak yang menggunakan media sosial untuk menghangatkan unsur perkauman boleh menjejaskan keharmonian kaum. Mereka yang tidak bertanggungjawab dan memberi perspektif tidak tepat tentang perkara sebenar yang berlaku mengundang keresahan dan kebencian tanpa usul periksa.

Kebetulan pula banyak isu dalam negara ketika ini oleh pihak tertentu memberikan maklumat yang kelihatan seolah-olah sahih. Urus tadbir kerajaan yang lebih telus dan cekap amat diperlukan supaya tidak ada ruang untuk pihak tertentu mewujudkan ketidaktenteraman yang mampu mengundang perpecahan dan mengancam keselamatan negara.

Isu mengenai kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik itu tidak terpencil kepada Malaysia. Masyarakat mudah terpesona dengan isu sensasi. Kajian menunjukkan isu yang panas dalam kalangan netizen akan merebak hampir 200,000 insan lain dalam tempoh satu jam.

Padam akaun palsu

Selain tindakan penguatkuasaan, kerjasama dengan pihak pemberi perkhidmatan seperti Facebook akan terus dipohon oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memadam akaun-akaun palsu. SKMM perlu dituntut untuk mempunyai pelan tindakan tersendiri dalam menangani isu sebegini.

Satu kajian mendalam perlu dilakukan SKMM terhadap kebebasan media sosial. Rakyat ingin mendengar lebih banyak tindakan berani yang diambil oleh SKMM dan dilaporkan dalam media sebagai ingatan kepada rakyat agar lebih berhati-hati dalam menyampaikan maklumat di media sosial.

SKMM juga sering meminta warga internet atau netizen menggunakan perkhidmatan laporan penyalahgunaan yang disediakan di dalam laman sosial untuk melaporkan kandungan yang didapati jelek, sumbang, lucah serta palsu. Netizen diseru agar jangan cuma 'share' tetapi tidak prihatin menyalurkan kepada medium yang betul iaitu 'share' kepada pihak penguat kuasa untuk tindakan undang-undang.

Tindakan SKMM melancarkan laman portal SEBENARNYA.MY, sebuah portal yang memaklumkan kesahihan berita yang tular di media sosial semestinya dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat. Ia adalah salah satu usaha dari kerajaan untuk mengekang penyebaran berita palsu.

Melalui SEBENARNYA.MY, maklumat yang berkaitan akan dikumpul, dianalisa, disahkan dan dimuat naik dalam portal itu untuk rujukan rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

Sehingga kini SKMM telah mengenal pasti lebih 1,000 berita palsu yang menular di dalam negara. Berita palsu bukan sahaja mengelirukan, malah boleh mengancam keselamatan rakyat dan negara. Ia bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja, tetapi berlaku di Amerika Syarikat, Indonesia dan negara-negara Eropah.

Sebenarnya tanggungjawab menangani masalah media sosial bukan terletak di bahu pihak berkuasa sahaja khususnya SKMM, PDRM dan sebagainya. Namun setiap individu perlu menyelia diri agar lebih cakna, prihatin dan mempunyai pertimbangan kendiri agar memastikan maklumat yang diterima benar-benar sahih. Tindakan menyebarkan maklumat tanpa usul periksa dan menularkan kepada pihak lain sebenarnya bersalahan dan boleh didakwa di akta dan perundangan yang sedia ada. Fikirkan dahulu sebelum menularkannya dan jadilah netizen yang celik media sosial.

*Prof Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Media Universiti Teknologi MARA


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!