DAP dah lama kuasai PH

 Khairul Faizi Ahmad Kamil
Khairul Faizi Ahmad Kamil
A
A
A

JOHOR BAHRU - DAP sebenarnya telah menguasai PH sebelum daripada PRU14 lagi, dedah Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Beliau berkata, gabungan parti-parti politik di dalam PH juga terpaksa akur dengan kehendak DAP di atas beberapa faktor.

"Saya melihat faktor sokongan pengundi bukan Melayu menjadi 'bargaining power' untuk membolehkan DAP merancang perjalanan politik PH.

"Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed semalam juga mendedahkan bahawa DAP memainkan peranan penting.

Ini termasuklah menentukan segala perkara dalam pentadbiran kerajaan PH termasuk berkaitan kedudukannya sebagai Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan, di sini harian.

Khairul Faizi berkata, berdasarkan kenyataan Dr Mahathir jelas menunjukkan bahawa DAP yang menentukan siapa pemimpin dan siapa akan pegang jawatan selepas berjaya ambil alih kerajaan.

"Jika difahami daripada apa yang dinyatakan ini maka arus politik Malaysia kini ditentukan oleh satu aliran pemikiran yang datangnya daripada DAP.

"Apa pun yang ingin dilakukan oleh Perdana Menteri mesti mendapat restu daripada DAP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, maka tidak hairanlah apabila sebelum ini Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) berani mengkritik Dr Mahathir kerana tidak mahu mengikut senarai calon menteri yang dicadangkan DAP.

"Alasan ini disifatkan sebagai tidak menghormati cadangan pimpinan parti komponen PH.

"Ini juga adalah satu perkembangan yang tidak sihat dan ianya perlu diperbetulkan kerana ia akan mengancam kestabilan politik negara," katanya.

Dakwanya lagi, Dr Mahathir mungkin sengaja mendedahkan perkara ini kepada pengetahuan umum namun realitinya DAP masih lagi kekal menguasai kerajaan PH.

"Diharap semoga rakyat Malaysia membuka mata dan hati," katanya.