40 belia berentap dalam Debaton Parlimen 2019

Program Debaton Parlimen 2019.
Program Debaton Parlimen 2019.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 40 belia Malaysia bakal merentap dalam program Debaton Parlimen 2019 bertempat di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu esok.

Mempersembahkan tajuk usul #3 'Memposisikan Kedudukan Sabah & Sarawak', program pendebat belia ini membabitkan lingkungan usia antara 18 hingga 25 tahun dari negeri Sabah, Sarawak dan Lembah Klang.

Jurucakap penganjur, Loh Su Ning berkata, program ini bertujuan untuk membantu belia supaya lebih bersedia dan menjadi lebih celik dalam politik.

"Program ini juga memberi peluang kepada peserta untuk meluahkan pendapat mereka, menggalakkan belia berfikir secara kritikal dan membincangkan dasar-dasar yang akan memberi kesan kepada golongan muda pada hari ini dan masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, format program itu ialah pendebat belia akan membentukkan dua kumpulan bagi mewakili pihak kerajaan dan pihak pembangkang.

"Tiga wakil daripada setiap kumpulan yang terpilih akan membentangkan hujah-hujah utama mereka dan akan dibahas semula oleh kumpulan pihak lawan secara berselang seli.

"Debatan Parlimen ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon," katanya.

Program Debaton Parlimen 2019 ini bakal dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Hal-Ehwal Parlimen), Datuk Liew Vui Keong.

Artikel Berkaitan:

Antara tetamu yang hadir pembantu Menteri Kepada Kementerian Pelajaran Dan Inovasi, Sabah, Jenifer Lasimbang, pembantu Menteri Kepada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Ben Chong, dan Ketua Pengarang dan Pengasas Bersama Malaysiakini, Steven Gan.

Dalam pada itu, program tersebut juga bakal bersiaran secara langsung di Facebook rakan media rasmi termasuk Sinar Harian, Malaysiakini, KiniTV, Astro Awani, RTM dan Bernama.

Loh Su Ning berkata, penganjuran ini bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-60 Parlimen Malaysia dan ulang tahun ke-20 Malaysiakini.

Selain itu, untuk maklumat lanjut boleh layari laman sesawang https://parliamentdebate.com/bm/ atau e-mel kepada enquiry@kini.events atau pro@parlimen.gov.my