14,000 pelajar ponteng, bimbang gejala sosial meruncing

Mahfuz (tengah) bersama sebahagian 250 penerima sumbangan 'Back To School' Parlimen Pokok Sena, hari ini.
Mahfuz (tengah) bersama sebahagian 250 penerima sumbangan 'Back To School' Parlimen Pokok Sena, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah merekodkan 14,000 pelajar sekolah rendah dan menengah terlibat kes ponteng sekolah setiap hari di negeri itu.

Gejala berkenaan dibimbangi menjadi medium mereka terjebak gejala sosial yang lebih serius.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, ibu bapa perlu lebih tegas memantau kerana boleh menjurus kepada masalah sosial lain.

"Kita tidak mahu ibu bapa hanya menyalahkan pihak sekolah kerana tidak akan membantu menyelesaikan masalah itu.

"Jika mengikut agihan mungkin sebuah sekolah kurang daripada 20 pelajar yang ponteng tapi ia tidak wajar berlaku apabila ada ibu bapa tidak ambil peduli berkaitan masalah ini,” katanya, selepas menyampaikan sumbangan Back To School Parlimen Pokok Sena kepada 250 pelajar hari ini.

Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia mahu semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memikirkan kaedah berkesan mewujudkan persekitaran menarik di sekolah bagi mengelakkan pelajar ponteng.

Mengulas mengenai kenyataan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berhubung peratusan siswazah wanita bekerja lebih tinggi berbanding lelaki pada tahun lalu Mahfuz berkata, tidak mustahil gejala ponteng sekolah memberi kesan terhadap jurang graduan antara lelaki dan perempuan jika tidak ditangani di peringkat awal.

Jabatan Perangkaan merekodkan dua pertiga kemasukan pelajar perempuan ke IPT di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

“Kemungkinan juga ia penyumbang kepada peratusan siswazah wanita bekerja lebih tinggi berbanding lelaki, susulan kemasukan pelajar perempuan ke institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara juga adalah lebih tinggi,” katanya.