X

Kindly register in order to view this article
!

Warga emas cedera dipukul dengan cangkul

A
A

BESUT - Seorang warga emas cedera dipukul dengan cangkul oleh seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Raja, Jertih di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi itu, mangsa berusia 81 tahun dihampiri lelaki berkenaan ketika sedang membersihkan halaman rumahnya.

Menurut sumber, suspek tanpa bersoal jawab terus merampas cangkul di tangan mangsa sebelum bertindak memukul kepala warga emas itu.

"Suspek melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anak lelaki mangsa. Mangsa yang cedera di kepala kemudiannya dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

"Mangsa menerima jahitan di kepala selain turut bengkak di jari kiri. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja hari yang sama untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, suspek berusia 27 tahun sudah ditahan dan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus