X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia bakal beri vaksin kepada pendatang asing

Dr Noor Hisham Abdullah
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bakal memberikan suntikan vaksin kepada pendatang asing di negara ini sebagai usaha mengelak penularan wabak penyakit berjangkit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan akan mendapatkan kerjasama daripada Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi memperoleh bekalan vaksin untuk diberi kepada pendatang asing.

Beliau berkata, kementerian juga akan cuba mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Filipina untuk mendapatkan vaksin memandangkan negara itu memperoleh bekalan vaksin yang lebih murah.

"Satu kerjasama antara Malaysia dengan Filipina (akan diwujudkan) sebab kita di Malaysia tidak diberi (dibekalkan) vaksin yang murah...tetapi Filipina, mereka dapat harga yang murah. Kami akan cuba peroleh (vaksin) menggunakan negara Filipina untuk diberi kepada pendatang asing.

"Kementerian juga akan bekerjasama dengan UNICEF untuk mendapatkan vaksin yang disubsidikan kepada pendatang asing,” katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan 'Be a Heart Hero' di Yayasan Jantung Malaysia oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye hari ini.

Noor Hisham berkata, kira-kira 20 hingga 30 peratus pendatang asing khususnya di Sabah dan Sarawak keluar masuk negara ini tanpa saringan dan perkara itu menjadi kegusaran pihaknya jika mereka ini tidak mendapat vaksin.

Minggu lepas, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah dijangkiti virus polio, iaitu kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Bayi itu dilapor mengalami demam diikuti lemah anggota badan dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital sebelum disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), pada Jumaat lepas.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengharapkan wujudnya kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang pentingnya mengambil suntikan vaksin sebelum pihaknya melaksanakan tindakan mewajibkan pengambilan vaksin.

"Kita kena galakkan dan beri pendidikan kesihatan kepada ibu bapa," katanya.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus