Pemandu Myvi biru samun OKU, langgar 4 kenderaan direman

Pemandu kereta Myvi biru ditahan reman bermula hari ini. - Foto FACEBOOK
Pemandu kereta Myvi biru ditahan reman bermula hari ini. - Foto FACEBOOK
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemandu Perodua Myvi biru yang didakwa samun orang kurang upaya (OKU) ditahan reman bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata, hasil ujian saringan awal juga mendapati pemandu itu positif methamphetamine dan amphetamine.

"Selepas ditangkap, kita serah kepada bahagian trafik untuk buka kertas siasatan. Apabila dibawa urin pula, pemandu tersebut didapati positif dadah.

"Jadi, kita tahan dan akan reman bermula hari ini tetapi tidak pasti berapa hari akan diputuskan Mahkamah.

"Kes ini masih dalam siasatan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya mengesahkan lelaki berusia 25 tahun terbabit merupakan anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurutnya, sehingga tengah hari tadi, pihaknya belum menerima apa-apa laporan daripada mangsa OKU yang didakwa disamun itu kerana maklumat diterima hanyalah berdasarkan video yang dirakam orang awam.

"Jadi kita mohon mangsa atau saksi tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang pemandu kereta jenis Perodua Myvi bagi membantu siasatan susulan tular rakaman video kenderaan yang dinaikinya melanggar empat kenderaan lain di Jalan Pudu, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian 4.50 petang itu, saksi seorang penghantar makanan yang telah merakam video mendakwa pemandu kereta Perodua Myvi itu telah menolak keluar mangsa seorang lelaki OKU daripada pintu depan kiri kenderaan berkenaan.

Katanya, selepas itu, saksi mengejar pemandu berusia 25 tahun untuk mengarahkan memberhentikan kenderaan, namun dia terus melarikan diri.