Malaysia bekerjasama dengan Qatar dalam industri tenusu

Azmin mengiringi Dr Mahathir melawat ladang tenusu diusahakan Baladna di Qatar. - Foto: FB Azmin Ali
Azmin mengiringi Dr Mahathir melawat ladang tenusu diusahakan Baladna di Qatar. - Foto: FB Azmin Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia tidak akan menternak lembu dengan cara lama sebaliknya menggunakan sains dan teknologi bagi meningkatkan kadar pengeluaran susu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, insiatif Kerajaan Persekutuan itu bertujuan mengurangkan kebergantungan bahan ternusu daripada negara asing yang kini berada pada paras hampir 100 peratus.

"Sudah tentu usaha ini akan membolehkan kita menuju ke arah mencapai 'food security', sejajar dengan Dasar Jaminan Makanan Negara.

"Pada masa yang sama, ratusan pekerjaan baharu mampu diwujudkan dan kita akan mampu meningkatkan lagi ekonomi industri tenusu tempatan," katanya di Facebooknya semalam.

Beliau memuat naik status dan gambarnya yang mengiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dalam lawatan kerja rasmi ke Qatar.

Turut sama, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah.

Mohamed Azmin berkata, antara fokus utama beliau termasuk menyaksikan usahasama di antara FELCRA (Malaysia) dan Baladna (Qatar) yang merupakan pengeluar tenusu terbesar di negara terbabit.

Menurutnya, dengan sekitar 20,000 lembu ternakan dan kuantiti pengeluaran sebanyak 100 juta liter susu setiap tahun, Baladna bertanggungjawab memenuhi 95 peratus permintaan bahan tenusu seluruh Qatar.

Artikel Berkaitan:

"Hasilnya negara Qatar telah mencapai tahap 'self-sustainability' iaitu kebergantungan kepada negara asing berjaya dikurangkan ke tahap minimum.

"Pada Oktober lalu, FELCRA telah mengumumkan hasrat bekerjasama dengan Baladna bagi membuka ladang tenusu terbesar di Malaysia.

"Ladang ini bukan ladang biasa-biasa, tapi ladang yang dilengkapi teknologi terkini sejajar dengan Revolusi Perindustrian 4.0," katanya pada status sama.