Amaran angin kencang, laut bergelora di pantai timur

Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di perairan pantai timur.
Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di perairan pantai timur.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di perairan pantai timur hari ini.

Menurut MetMalaysia dalam satu kenyataan hari ini, angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan Sabah Barat.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Kenyataan disiarkan di laman web rasmi MetMalaysia pada jam 4.20 pagi hari ini.

Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga turut dikeluarkan untuk perkapalan.

Angin kencang timur laut berkelajuan dari 60 km/j dengan ombak mencapai ketinggian melebihi 4.5 meter dijangka di kawasan perairan Condore, utara Bunguran dan barat Reef North sehingga hari ini.

Ombak kuat menghempas pantai dan benteng.
Ombak kuat menghempas pantai dan benteng.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, amaran kategori kedua, angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 km/j dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka di kawasan perairan tenggara Samui, Tioman, selatan Bunguran, Reef South, timur Reef North, Layang-Layang, Palawan dan Labuan sehingga hari ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Dalam pada itu, amaran kategori pertama, angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan timur laut dan barat daya Samui dan Sulu.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Sementara itu, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di kawasan perairan Selat Melaka, selatan Tioman, Condore, Bunguran, Layang-layang, Reef North, Reef South dan Sulu sehingga jam 9 pagi tadi.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.