X

Kindly register in order to view this article
!

Gadis rela berhenti kerja demi ibu

Walaupun terlantar, Nur Farah tetap berinteraksi dengan ibunya setiap masa.
A
A

MACHANG - Bukan tidak memikirkan masa depan dan bekerja seperti remaja lain, namun tanggungjawab menjaga ibu yang terlantar lebih menjadi keutamaan kepada Nur Farah Syakila Ramli, 23.

Ibunya, Noraini Abu Seman, 59, terlantar sejak dua tahun lalu selepas terjatuh ketika menunggang motosikal sehingga mengalami pendarahan dan kecederaan parah di bahagian kepala.

Sejak saat itu, Nur Farah yang ketika itu bekerja di Kuala Lumpur melakukan pengorbanan besar berhenti kerja untuk menjaga ibunya di Kampung Simpul Belubang, Machang memandangkan adik-beradik lain mempunyai komitmen masing-masing, termasuklah dua di universiti dan seorang lagi masih di bangku sekolah.

"Saya tidak pernah mengeluh untuk jaga mak. Cuma yang saya risau sekarang ialah apabila ayah saya, Ramli Che Ngoh juga kini sudah tidak mampu bekerja selepas serangan jantung bulan lalu.

"Saya risau sumber pendapatan kami semakin terhad dan saya pula tidak boleh meninggalkan ibu sendirian untuk bekerja.

"Adik-beradik yang lain ada juga membantu tapi sekadar yang mampu sahaja sebab mereka juga membantu dua lagi adik-beradik kami di universiti dan seorang tingkatan empat," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Nur Farah tidak pernah mengeluh dengan ujian dialaminya sekeluarga.
Nur Farah tidak pernah mengeluh dengan ujian dialaminya sekeluarga.

Sebelum ini, tular di laman sosial Facebook mengenai kegigihan Nur Farah yang sanggup berhenti kerja menjaga ibunya yang sakit akibat kemalangan tersebut.

Ketika kejadian dua tahun lalu, Noraini dikatakan mengalami pening kepala selepas menghantar suami ke tempat kerja, namun tetap meneruskan perjalanan ke bank untuk memasukkan duit kepada anaknya yang berada di universiti ketika itu.

Dalam perjalanan pulang, Noraini dikatakan rebah dan mengalami pendarahan yang teruk di kepala.

Nur Farah memberitahu, ibunya memerlukan sekurang-kurangnya RM1,700 sebulan untuk pengurusan melibatkan pembelian susu, lampin pakai buang, perkakasan perubatan cuci luka dan sebagainya.

Katanya, susu diperlukan ibunya lebih mahal berbanding susu lain memandangkan ia mempunyai rumusan khas untuk penghidap kencing manis.

"Untuk susu sahaja saya perlukan RM1,200 sebulan memandangkan ibu memang tidak boleh makan makanan lain. Saya cuba kecilkan perbelanjaan lain bagi memastikan keperluan ibu terjaga.

"Saya berharap ada pihak boleh bantu kami untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung. Kalaulah saya boleh bekerja sendiri, saya tidak akan menyusahkan orang lain tapi apakan daya, menjaga ibu lebih penting buat saya. Ayah pun sudah tidak boleh buat kerja berat lagi," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh salurkan melalui akaun CIMB BANK 7054 4415 21 atas nama Nur Farah Shakylla Ramli.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!