The Pacemaker bawa nama Malaysia

Pasukan The Pacemaker melakukan persediaan sebelum pertandingan Grand Prix Marching Band 2019 yang akan berlangsung di Istora Senayang, Jakarta nanti.
Pasukan The Pacemaker melakukan persediaan sebelum pertandingan Grand Prix Marching Band 2019 yang akan berlangsung di Istora Senayang, Jakarta nanti.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pasukan pancaragam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, di sini membawa nama Malaysia sebagai wakil tunggal negara dalam pertandingan Grand Prix Marching Band 2019 yang akan berlangsung di Istora Senayang, Jakarta.

Pasukan pancaragam bernama The Pacemaker, yang disertai 15 pelajar tingkatan dua dan empat SMK Padang Midin itu dijangka berentap dengan 62 pasukan antarabangsa dalam pertandingan yang akan berlangsung pada 28 hingga 29 Disember ini.

Band Master, Alias Muhammad yang juga merupakan pengurus dan jurulatih pasukan berkata, mereka akan bertanding dalam kategori Drumbattle dan pasukan itu mula menjalani latihan sejak Oktober lalu selepas mengesahkan penyertaan.

“Kami dipelawa oleh penganjur untuk menyertai pertandingan ini sebagai wakil tunggal negara dan kami bersetuju menyahut cabaran ini.

“Pelajar begitu positif dan bersemangat untuk memberi persembahan terbaik nanti. Oleh itu, kami berlatih tiga kali sehari iaitu waktu pagi, petang dan malam agar dapat memberi aksi terbaik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pasukan The Pacemaker sedang berlatih sebagai persediaan.
Pasukan The Pacemaker sedang berlatih sebagai persediaan.

Menurut Alias, pasukan pancaragam SMK Padang Midin sudah wujud sejak 13 tahun lalu dan pihaknya sudah menyertai pelbagai pertandingan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun kata Alias, pertandingan kali ini dianggap istimewa kerana selain komitmen tinggi pelajar, ibu bapa turut memberi sokongan padu dengan turun padang bersama bekalan makanan setiap kali latihan berlangsung.

Malah katanya, ibu bapa juga sanggup mengeluarkan belanja sendiri menempah tiket perjalanan pergi balik, penginapan dan makan minum anak-anak yang menyertai pertandingan ini kerana pasukan itu tidak mendapat sebarang tajaan.

“Selain anak-anak, ibu bapa juga akan turut sama berangkat ke Jakarta nanti. Mereka sanggup keluarkan belanja sendiri dengan kos dianggarkan RM1,100 seorang sepanjang lima hari di sana nanti,” katanya.

Latihan sebelum pertandingan Grand Prix Marching Band 2019 yang akan berlangsung di Istora Senayang, Jakarta nanti.
Latihan sebelum pertandingan Grand Prix Marching Band 2019 yang akan berlangsung di Istora Senayang, Jakarta nanti.

Pasukan itu bersama jurulatih, guru pengiring dan ibu bapa seramai 60 orang akan bertolak ke Jakarta pada 26 Disember nanti.

Mempunyai dua jurulatih profesional, dia yang sudah 13 tahun menjadi band master berharap rakyat Malaysia mendoakan kemenangan The Pacemaker yang akan bermain bass drum, snare drum, tenor drum dan cymbal.

“Kita masuk bertanding mesti mahu jadi juara. Jadi saya harap kita dapat menang dan semua rakyat Malaysia doakan kejayaan kami,” katanya.