Si Kitol dan Raja Mendeliar

A
A
A

ELOKLAH sekali-sekala kita kenang-kenangkan sejarah. Bukan apa, jika tidak dikenang nanti terlupa pula. Lupa sahaja tidak mengapa tetapi terlupa terus sehingga tidak tahu di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, maka rugilah kita.

Kadang-kadang dengan mengenangkan sejarah, kita dapat bermuhasabah diri. Siapa kita? Asal-usul kita? Bagaimana sifat-sifat kita dahulu kala dan kenapa kita dulu begini dan sekarang begini pula?

Orang muda zaman sekarang mungkin tidak berapa minat dengan sejarah agaknya sebab itu ramai yang tidak tahu tentang cerita sejarah lama terutama Sejarah Melayu lama.

Baru-baru ini, cerita sejarah Melayu lama dipenglipurlarakan pada majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK. Cerita tentang Si Kitol dan Raja Mendeliar. Bagus cerita itu. Banyak ibrah yang kita boleh ambil daripada cerita tersebut.

Mungkin ada anak muda zaman moden tertanya-tanya siapa Si Kitol dan siapa Raja Mendeliar yang tiba-tiba disebut-sebut dan menjadi bualan hangat di media sosial, surat khabar, kedai kopi, tepi stesen bas dan di tempat-tempat kerja.

Sebenarnya Si Kitol dan Raja Mendeliar bukanlah orang biasa-biasa. Kononnya menurut cerita, Si Kitol berhutang sekati emas dengan seorang kaya di Melaka bernama Raja Mendeliar.

Kebetulan Si Kitol pula jenis yang susah untuk membayar hutang dengan Raja Mendeliar. Raja Mendeliar memanglah kaya-raya ketika itu. Diberitahu juga kekayaan Raja Mendeliar hanya kurang sebahara emas sahaja berbanding dengan kekayaan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir ketika itu.

Maksud sebahara emas lebih kurang atau bersamaan 205 kati sahaja ikut ukuran orang dulu. Lebih sikit sahaja, macam berat ayam kalau ikut kati. Kalau tuan-tuan ada dua ekor ayam dan saya ada seekor ayam, maka kekayaan tuan-tuan hanya lebih seekor ayam sahaja daripada saya.

Artikel Berkaitan:

Maka, pada suatu hari berlakulah salah faham antara Raja Mendeliar dengan seorang saudagar kaya Melaka yang bernama Nina Sura Dewana.

Nina Sura Dewana bukanlah artis walaupun namanya seakan-akan artis Dia kononnya orang kaya yang mempunyai banyak harta hasil daripada kerja-kerja saudagarnya.

Salah faham itu telah dibawa pula Bendahara Seri Maharaja untuk diselesaikan.

Kerana mungkin waktu pejabat dah habis, Bendahara pun mungkin hendak berehat selepas bekerja selama lapan jam setiap hari, maka disuruhnya mereka berdua datang semula keesokan harinya.

Termakan budi

Tetapi hendak dijadikan cerita, mungkin hasil fikiran licik Nina Sura Dewana yang ingin mempengaruhi Bendahara supaya menyebelahinya, maka dibawanya sejumlah harta untuk disuapkan kepada Bendahara dengan harapan supaya Bendahara nanti termakan budi dan menyebelahinya.

Bendahara Seri Maharaja ketika itu mungkin tidak berfikir panjang, maka diterimanya sahaja. Sudah orang hendak beri hadiah, apa salahnya diterima, bak kata orang Melayu lama kita, bertemu bukit di tepi telaga.

Entah macam mana, Si Kitol dapat mengesannya. Tidak diberitakan pula bagaimana Si Kitol mendapat tahu kejadian itu tetapi mungkin Si Kitol ada agensi risikan yang cekap atau sedang merayau-rayau atau ada mata-mata yang merupakan kawannya bekerja di rumah Bendahara Seri Maharaja agaknya.

Tanpa berlengah diadukan pula kepada Raja Mendeliar, maka marahlah Raja Mendeliar apabila mendengar cerita itu, bak kata peribahasa Melayu lama kerana tersangat marah sehingga nampak gajah seperti kuman. Rasa pedih cuping telinga apabila diberitahukan tentang berita itu.

Lalu dikoyakkanlah surat hutang Si Kitol tanda berhutang budi kerana memberitahu cerita itu kepadanya. Maka, sukalah hati Si Kitol kerana hutangnya telah dihalalkan pula dunia akhirat.

Akhirnya berlaku kejadian yang tidak diingini. Fitnah-memfitnah dan adu domba itu menyebabkan berlaku peristiwa yang menyayat hati. Dipendekkan cerita, Sultan Mahmud Syah menyesal juga akhirnya akan tindak-tanduknya tanpa usul periksa.

Jika ditelusuri cerita itu bukanlah salah Si Kitol dan Raja Mendeliar. Si Kitol mungkin hendak menyelesaikan hutangnya sahaja. Raja Mendeliar pula melakukan tindak balasnya disebabkan rasa terancam.

Yang perlu bermuhasabah diri itu ialah yang berperilaku seperti Sultan Mahmud Syah. Bak kata peribahasa Melayu lama, kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar.

Tetapi janganlah hanya di mulut. Jika berpuluh-puluh kali batang beralih, cacing di bawah juga.

* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif