X

Kindly register in order to view this article
!

Peratusan siswazah wanita bekerja lebih tinggi tidak memeranjatkan

Shamsuddin
A
A

SHAH ALAM - Peratusan siswazah wanita bekerja lebih tinggi berbanding lelaki pada 2018 seperti mana direkodkan Jabatan Perangkaan bukan sesuatu yang memeranjatkan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, ini kerana bilangan itu munasabah dengan jumlah dua pertiga kemasukan pelajar perempuan ke institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Malah menurutnya, jika mengambil kira peratusan keseluruhan pelajar wanita yang memasuki universiti, sumbangan 50.4 peratus atau 2.01 juta orang dalam kalangan tersebut dalam bidang kerjaya dilihat belum mencapai sasaran.

“Jika mengambil kira jumlah dua pertiga kemasukan pelajar perempuan ke IPT, sepatutnya ia akan menyumbang sehingga 60 peratus atau lebih.

“Bagaimanapun seperti mana yang kita sedia maklum, ada antara graduan wanita yang memulakan kerja sebaik tamat pengajian akan berhenti selepas mendirikan rumah tangga.

“Berbeza dengan golongan lelaki yang akan terus bekerja untuk menyara keluarga, jadi itulah faktor mengapa peratusan pelajar wanita yang tamat pengajian bekerja tidak capai sasaran jika mengambil kira jumlah mereka yang memasuki IPT,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai data Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2018 menunjukkan bilangan siswazah perempuan bekerja lebih tinggi berbanding lelaki.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, selain faktor kemasukan pelajar perempuan yang lebih ramai ke IPT, peratusan itu juga turut didorong oleh sektor perkhidmatan yang lebih banyak menawarkan peluang pekerjaan di negara ini.

Katanya, golongan perempuan lebih terbuka untuk mengisi kekosongan dalam sektor perkhidmatan yang sentiasa berkembang di negara ini.

“Sekarang ini kalau kita lihat sektor perkhidmatan berkembang maju dan kalau kita lihat kebanyakan di negara maju, cara mereka menjana ekonomi lebih kepada sektor perkhidmatan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini memberitahu, data Jabatan Perangkaan pada 2018 menunjukkan 4.96 juta siswazah atau 20.3 peratus daripada penduduk dalam usia bekerja di negara ini adalah terdiri daripada golongan siswazah.

Katanya, kadar penyertaan tenaga buruh bagi siswazah ialah 83.6 peratus meliputi 4.15 juta orang dan daripada jumlah itu, 3.99 juta adalah siswazah bekerja, meningkat 8.2 peratus berbanding 3.69 juta pada 2017.