Muip pertimbang ganti peralatan baharu hospital jika ada permohonan

Wan Abdul Wahid (tiga dari kanan), Dr Rohaya (empat dari kanan) dan Dr Norazmi (dua dari kanan) bersama wakil dari Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Cawangan Pahang, Makna dan Bank Kanta Intraokular Kebangsaan yang hadir menerima bantuan zakat dari Muip di Auditorium HTAA di sini hari ini.
Wan Abdul Wahid (tiga dari kanan), Dr Rohaya (empat dari kanan) dan Dr Norazmi (dua dari kanan) bersama wakil dari Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Cawangan Pahang, Makna dan Bank Kanta Intraokular Kebangsaan yang hadir menerima bantuan zakat dari Muip di Auditorium HTAA di sini hari ini.
A
A
A
KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sedia mempertimbangkan sekiranya ada permohonan daripada hospital di negeri ini untuk mendapatkan peralatan baharu.

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, ia satu usaha pihak Muip dalam membantu pesakit-pesakit di hospital untuk mendapatkan khidmat rawatan terbaik.

Menurutnya, penggantian peralatan hospital sudah tentu membabitkan kos yang besar dan pihaknya memahami kekangan dihadapi Kementerian Kesihatan dalam memenuhi keperluan menggantikan peralatan yang sudah lama.

"Selain melalui sumbangan peralatan perubatan yang telah disumbangkan pihak Muip membabitkan peruntukkan RM RM1,059,690 kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini sebelum ini, kita (Muip) sedia berbincang dengan pihak hospital untuk bantu menggantikan peralatan yang diperlukan seperti mesin dialisis, alat pernafasan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serahan Sumbangan Bantuan Zakat Kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Cawangan Pahang, Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan Bank Kanta Intraokular Kebangsaan, di Auditorium HTAA di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri ( Perubatan), Datuk Dr Rohaya A Rahman, Pengarah HTAA, Dr Norazmi Abdullah dan Pengerusi Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Harolhanam Mohamed Wahid.

Wan Abdul Wahid berkata, pada majlis bantuan zakat hari ini, Muip memperuntukkan RM350,000 untuk Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Cawangan Pahang, masing-masing RM100,000 untuk Makna dan Bank Kanta Intraokular Kebangsaan serta sumbangan mesin Cycler Homechoice untuk rawatan pesakit buah pinggang peringkat akhir bernilai RM50,000.

Beliau berkata, Muip memperuntukkan sumbangan dana berjumlah RM3,132, 190 kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini sejak 2006 hingga tahun ini.

“Daripada jumlah itu RM2,072,500 disumbangkan kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Cawangan Pahang dan RM1,059, 690 bagi bantuan sumbangan bantuan peralatan perubatan.

Artikel Berkaitan:

“Selain sumbangan itu, Muip turut memperuntukkan lebih RM780,000 untuk program kesihatan dan program Ziarah Prihatin HTAA sejak 2011 hingga tahun ini,” katanya.

Menurutnya, sumbangan besar itu bertujuan membantu pesakit kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan yang menerima rawatan di HTAA dan klinik-klinik kesihatan di negeri ini.

Menurutnya, sumbangan bantuan kepada pihak Jabatan kerja Sosial Perubatan HTAA meningkat setiap tahun mengambil kira kepada keperluan dan bilangan pesakit yang memerlukan.

“Bermula pada 2006, kita memperuntukkan RM30,000 bagi tujuan ini dan RM15,000 pada 2017 seterusnya pada 2008/2009, jumlah itu dinaikkkan kepada RM100,000, 2010 (RM150,000), 2011 (RM150,000), 2012 (RM160,000), 2013 (RM230,000) 2014 (RM293,000), 2015 (RM294,000), 2017/2018 (RM300,000) dan tahun ini RM350,000,” katanya.