Mendaki sambil bersedekah

Sebahagian daripada 160 peserta termasuk krew yang menyertai Program Charity Hike Gunung Angsi v5.0, dekat sini kelmarin.
Sebahagian daripada 160 peserta termasuk krew yang menyertai Program Charity Hike Gunung Angsi v5.0, dekat sini kelmarin.
A
A
A

KUALA PILAH - Seramai 160 pendaki menyertai pendakian ke Gunung Angsi, di sini bagi membantu golongan memerlukan melalui penyertaan Program Charity Hike Gunung Angsi v5.0, dekat sini kelmarin.

Program yang masuk tahun kelima diadakan itu sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar aktiviti pendakian apabila menawarkan konsep bersedekah sambil mengeratkan hubungan.

Menurut Penyelaras Program merangkap Presiden Pertubuhan Peduli Waghih Negeri Sembilan, Mohd Raziff Mansor, program berkenaan berjaya menarik penyertaan bukan hanya dari Negeri Sembilan, bahkan dari negeri lain seperti Pahang, Johor, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Setiap penyertaan mempunyai ‘saham’ untuk diagihkan kepada golongan memerlukan. Malah, kita juga berasa sangat gembira apabila menerima penyertaan dari beberapa buah keluarga serta masyarakat berbilang kaum seawal usia empat hingga 55 tahun.

“Lebih menarik lagi bagaikan sebuah keluarga besar, kesemua peserta dirai di atas puncak dengan pelbagai hidangan termasuklah kambing bakar,” katanya.

Program yang mendapat kerjasama penuh daripada kumpulan pendakian seperti Tapak N9, Slow Giler hiker, Santai Crew, Indie hiker dan Cikun Hiker itu telah disempurnakan simbolik pelepasannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Datuk Abd Samad Ibrahim.

Mohd Raziff berkata, dalam program berkenaan, pihaknya berjaya mengutip dana sebanyak RM5,000 dan dana berkenaan akan digunakan sepenuhnya untuk disalurkan kepada golongan sasaran di sekitar Negeri Sembilan.

Menurutnya, sumbangan berkenaan akan disalurkan antaranya kepada Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Walidaina, bapa tunggal, enam beradik yatim piatu di Seremban dan selebihnya bagi beberapa kawasan terpilih di Rembau.

Artikel Berkaitan:

“Ada peserta yang masih setia bersama dari tahun pertama sempena program ini dan kita harap agar program ini akan sentiasa mendapat sokongan daripada penggemar aktiviti pendakian.

“Apa yang pasti, selain menggalakkan aktiviti riadah pendakian dan bersedekah, peserta juga dididik untuk mengutamakan kebersihan dengan memastikan tiada sampah yang tertinggal sepanjang aktiviti pendakian dijalankan,” katanya.