Sinar pendidikan buat asnaf

Gambar hiasan
A
A

MINGGU ini merupakan minggu kedua bagi sesi persekolahan bagi para pelajar di seluruh negara. Bagi kebanyakan pelajar, hari pertama persekolahan pastinya merupakan momen yang indah kerana dapat menggayakan kelengkapan persekolahan yang baharu.

Namun bukan semua pelajar dapat menikmati pengalaman indah tersebut. Ada dalam kalangan ibu bapa yang belum mempunyai peruntukan yang cukup bagi melakukan persediaan sesi persekolahan anak-anak mereka.

Paling perit, apabila si anak yang berada di peringkat sekolah rendah sering bertanyakan bilakah waktu mereka dapat memilih kelengkapan bagi memulakan sesi persekolahan. Terutama ketika harga komoditi seperti getah jatuh pada saat lembaran persekolahan akan bermula.

Dalam kelam pasti ada sinarnya. Melalui agihan zakat pendidikan secara tidak langsung akan membantu kalangan asnaf yang memerlukan. Walaupun bidang pendidikan menerima agihan terbesar dalam bajet negara pada tahun 2019 berjumlah RM60.2 bilion atau 19.1% daripada jumlah keseluruhan yang telah diumumkan di Parlimen, namun agihan zakat pendidikan masih lagi diperlukan terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Melalui ketetapan yang terdapat dapat al-Quran, antara asnaf yang layak untuk menerima zakat adalah orang yang berjuang di jalan ALLAH (fi sabilillah). Menurut ulama kontemporari yang menjadi antara figura dalam kajian berkaitan zakat iaitu Profesor Dr Yusuf al-Qardhawi, tafsiran fi sabilillah bukan hanya semata-mata kepada mereka yang berperang di jalan ALLAH SWT, namun turut merangkumi mereka yang menuntut ilmu bagi menaikkan syiar Islam.

Di Malaysia, bukan sahaja asnaf fi sabilillah yang berkait sebagai penerima agihan zakat pendidikan namun juga kategori asnaf yang lain seperti fakir miskin, mualaf dan ar-riqab.

Dalam mendepani cabaran abad yang semakin canggih ini, agihan zakat pendidikan juga tidak terkecuali menerima tempias yang positif. Agihan zakat pendidikan kini bukan sahaja dilakukan secara ‘one off” atau ‘lump sum’ sahaja seperti agihan tradisional sebelum ini, malah dipelbagaikan bentuk dan corak agihan agar manfaat yang optimum dapat diperoleh melalui agihan dana zakat.

Penulis ingin mengambil contoh bagaimana langkah pro aktif yang diambil oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah yang mewujudkan sendiri institusi pendidikan di bawah kelolaan mereka seperti Maahad Dini dan Pondok Moden yang ditawarkan kepada anak-anak asnaf yang layak.

Selain itu, melalui strategi lautan biru kebangsaan agihan zakat pendidikan juga dimanfaatkan dengan kolaborasi bersama agensi-agensi kerajaan dan swasta misalnya pihak sekolah, KADUN, Naza Academy, PDC seperti yang dilakukan oleh Zakat Pulau Pinang dan beberapa institusi zakat yang lain.

Komuniti masyarakat setempat seperti jawatankuasa masjid dan MPKK seharusnya juga perlu memainkan peranan menyalurkan maklumat asnaf yang memerlukan dan tercicir, terutamanya mereka yang cemerlang dalam pelajaran agar lebih ramai cerdik pandai dapat dihasilkan. Melalui agihan seperti ini, bukan sahaja menjimatkan kos, malah kualiti yang bakal diperoleh kepada anak-anak asnaf dapat dipertingkatkan.

Selain itu juga, program-program keilmuan dan pemantapan sahsiah secara jangka panjang dan pendek yang dilakukan oleh institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor juga telah memberikan impak yang positif kepada pembinaan modal insan. Buktinya, telah ramai anak-anak asnaf yang berjaya mendapatkan pekerjaan yang baik setelah tamat tempoh pengajian dan berjaya membebaskan diri mereka daripada kepompong asnaf seterusnya menjadi pembayar zakat.

Islam merupakan rahmat bagi sekalian alam. Melalui agihan zakat pendidikan, bukan sahaja diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia malah turut dinikmati oleh sebilangan pelajar warga negara asing yang belajar di negara ini seperti yang dilakukan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Secara tidak langsung, hasrat kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan yang disegani di rantau Asia akan dapat direalisasikan.

Bagi memudahkan pengagihan zakat pendidikan, aplikasi permohonan secara atas talian juga diperkenalkan oleh kebanyakan institusi zakat agar kerenah birokrasi sewaktu permohonan dapat dikurangkan. Mereka sudah tidak perlu untuk ke pejabat-pejabat zakat bagi menghantar borang permohonan.

Secara tidak langsung, data dan maklumat asnaf juga dapat direkodkan secara bersistematik. Malah, terdapat juga institusi zakat yang menempatkan pegawai-pegawai mereka di luar negara bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Justeru, terbuktilah pendidikan merupakan salah satu aspek yang dapat mengubah kehidupan dan mengeluarkan golongan asnaf daripada kepompong kemiskinan. Beruntunglah buat pembayar zakat, pastinya anak-anak asnaf yang menerima agihan zakat pendidikan sentiasa mendoakan kesejahteraan kalian dunia dan akhirat.

* Penulis ialah penuntut PhD Pengajian Islam (Syariah), Universiti Sains Malaysia (UKM)