Edar dadah guna perkhidmatan kurier

Taktik sindiket yang menggunakan parcel bagi mengedar dadah dibongkar dalam operasi di sebuah syarikat kurier di Subang Jaya baru-baru ini. - Foto PDRM
Taktik sindiket yang menggunakan parcel bagi mengedar dadah dibongkar dalam operasi di sebuah syarikat kurier di Subang Jaya baru-baru ini. - Foto PDRM
A
A
A

SUBANG JAYA - Taktik sindiket mengedar dadah menggunakan perkhidmatan kurier terbongkar apabila polis menemui dadah dalam parcel semasa operasi di sebuah syarikat kurier di sini baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, operasi kira-kira jam 1.45 pagi oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya 7 Disember lalu menemui dadah disyaki kanabis seberat 954 gram (g).

Menurutnya, susulan itu, bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya merampas beberapa parcel dari syarikat yang sama dua hari kemudian.

"Siasatan mendapati parcel terbabit mengandungi kanabis seberat 293 gram.

"Polis percaya percel terbabit dikirim oleh satu syarikat yang didaftarkan menjalankan perniagaan memproses serta menjual rempah herba yang diusahakan sepasang suami isteri berusia 36 dan 40 tahun," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, dengan kerjasama daripada BSJN IPD Batu Pahat, pihaknya berjaya memberkas kedua-dua suspek terbabit di kawasan Batu Pahat, Johor berserta rampasan 150 mililiter cecair disyaki kanabis, 245.8g kanabis dan 1 kilogram ketum.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan kedua-dua syarikat kurier berdepan tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan pengedaran dadah termasuk modus operandi yang menggunakan syarikat kurier," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu serbuan Selasa lalu di sebuah premis di kawasan Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan, polis berjaya merampas syabu seberat 17,522g, 23,606 biji pil ekstasi dan 1,001g serbuk MDMA yang dianggarkan bernilai RM2.22 juta.

Katanya, serbuan itu dilakukan susulan daripada rampasan 10 bungkusan plastik mengandungi 10,000g dadah disyaki syabu pada 21 November lepas oleh polis Petaling Jaya, Selangor dengan modus operandi yang sama menggunakan melalui perkhidmatan kurier.