Gabung untuk perkasa CAAM: Anthony Loke

Anthony Loke -Foto Bernama
Anthony Loke -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Langkah penggabungan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) adalah untuk memperkasakan CAAM serta mengukuhkan kedudukan kewangannya, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata keupayaan kewangan CAAM adalah satu daripada faktor yang membawa kepada keputusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat untuk menurunkan penarafan keselamatan udara Malaysia daripada Kategori 1 kepada Kategori 2.

“Satu daripada isu yang membawa kepada penurunan penarafan oleh FAA itu adalah CAAM tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk mengupah kakitangan teknikal yang berkelayakan terbaik.

“Apabila kita melakukan penggabungan ini, kita mahu memastikan kita dapat memperkasakan mereka dari segi kewangan, memberikan CAAM lebih kuasa dari segi menetapkan yuran. Bagi tempoh jangka panjang, mereka boleh mengupah kakitangan dan membayar pada kadar yang lebih baik,” katanya kepada media selepas pelancaran #JOMTEKSI di sini hari ini.

Anthony berkata, susulan mandat daripada Kabinet, kementerian beliau akan melakukan segala yang perlu dalam beberapa bulan akan datang untuk membawakan pindaan itu ke Parlimen.

Menurutnya, entiti yang digabungkan itu akan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada industri dan CAAM akan menjadi pengawal selia utama.

Semalam, Kementerian Pengangkutan mengumumkan kerajaan akan menggabungkan kedua-dua entiti itu dan fungsi utama Mavcom akan dipindahkan kepada CAAM. - Bernama

Artikel Berkaitan: