Bekas calon AMK maut ditetak: Polis cari Ozi

M D Ozziram, 25, atau dikenali sebagai Ozi dicari bagi membantu siasatan.
M D Ozziram, 25, atau dikenali sebagai Ozi dicari bagi membantu siasatan.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis sedang giat mencari seorang lelaki bagi membantu siasatan kematian bekas calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shah Alam yang ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Flat PKNS, Seksyen 7, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, lelaki terbabit adalah M D Ozziram, 25, atau dikenali sebagai Ozi dan alamat terakhirnya Taman Karupiah, Padang Jawa, Klang, Selangor.

"Pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor memohon kerjasama orang awam untuk memberikan maklumat mengenai lelaki terbabit bagi bantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan K Vignesh Kumar di talian 03-55202222," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, seramai empat individu berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun termasuk seorang wanita telah ditahan di sekitar Klang dan Shah Alam.

"Kesemua mereka kini telah direman tujuh hari sehingga Isnin depan," katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa, M Thiyahu berusia 30 tahun parah di beberapa bahagian badan, tangan, kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.16 petang berhubung insiden terbabit.

Artikel Berkaitan:

Mangsa diserang tiga lelaki yang menaiki sebuah Proton Waja berwarna silver sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang semasa menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.