Agus Salim Ketua Polis Daerah Sabak Bernam baharu

Nor Azmi (kiri) dan Agus Salim (kanan) menandatangani dokumen serah terima tugas sambil disaksikan Noor Azam (tengah) di IPD Sabak Bernam di sini hari ini.
Nor Azmi (kiri) dan Agus Salim (kanan) menandatangani dokumen serah terima tugas sambil disaksikan Noor Azam (tengah) di IPD Sabak Bernam di sini hari ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Timbalan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Selangor, Superintendan Agus Salim Mohd Alias memulakan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Sabak Bernam yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengambil alih tugas itu daripada Superintendan Nor Azmi Isa yang bersara wajib pada 17 Disember ini.

Majlis serah terima tugas dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormatan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Majlis diteruskan dengan pemakaian pangkat disempurnakan Noor Azam kepada Agus Salim.

Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas di antara Nor Azmi dan Agus Salim serta penyerahan tongkat kuasa disaksikan oleh Noor Azam.

Agus Salim, 44, berkata, beliau bersedia memberikan perkhidmatan terbaik bagi membantu mengekalkan ketenteraman dan keselamatan serta usaha membanteras jenayah di daerah ini.

Katanya, beliau berterima kasih kepada Noor Azam yang menerajui Polis Selangor kerana memberi kepercayaan untuk menggalas jawatan tersebut.

"Dengan sokongan semua termasuk ketua-ketua jabatan dan ketua polis daerah di negeri ini saya akan teruskan kejayaan dan kecemerlangan yang ditinggalkan Nor Azmi.

Artikel Berkaitan:

"Saya sentiasa bekerjasama dengan Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon untuk memastikan tadbir urus di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam berjalan lancar.

Sementara itu, Nor Azam berkata, beliau berterima kasih atas khidmat jasa Nor Azmi yang sentiasa komited dalam mengurangkan indeks jenayah di daerah Sabak Bernam.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada Nor Azmi yang membawa IPD Sabak Bernam ke tahap yang membanggakan kerana berada antara Top 5 IPD di negeri ini dalam penyelesaian kes jenayah," katanya.

Nor Azmi berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 39 tahun lalu dan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Sabak Bernam lima tahun tiga bulan.