Sampai maklumat menerusi media sosial ganti perhimpunan bulanan: Adly

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka akan melaksanakan model sistem penyampaian maklumat baharu kepada penjawat awam khususnya berkaitan dasar, polisi dan agenda yang akan dan telah dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu bermula Februari tahun depan.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, model itu bagi menggantikan perhimpunan bulanan yang diadakan sebulan sekali dan menjimatkan masa penjawat awam selain memastikan maklumat berkenaan dapat disampaikan secara efektif serta menyeluruh.

Beliau berkata, kaedah penyampaian maklumat itu akan menggunakan media sosial dan kecerdasan buatan (AI) seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

"Selepas ini tiada lagi perhimpunan pagi seperti hari ini yang menghimpunkan penjawat awam di Dataran Seri Negeri sebaliknya ia akan menggunakan media maya.

"Mereka boleh mendengar maklumat itu di mana sahaja berada secara langsung atau berulang dan kita mempunyai mekanisme tertentu bagi memastikan mesej itu sampai kepada penjawat awam di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, kerajaan Melaka akan menilai semula 'garis kemiskinan' di negeri ini walaupun kadar kemiskinan di Melaka adalah rendah iaitu di bawah satu peratus dan miskin tegar sifar peratus.

Katanya, ia bagi memastikan aspek garis kemiskinan yang ditetapkan sebelum ini relevan dengan situasi ekonomi semasa rakyat dan juga negara selain membantu golongan terlibat menerusi pelbagai inisiatif yang dilakukan sekali gus mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Mengulas lanjut Adly berkata, selain bantuan daripada kerajaan, pendidikan merupakan faktor utama yang boleh mengeluarkan masyarakat atau keluarga terlibat daripada kemiskinan dan mendapat kehidupan yang lebih baik serta selesa.

Artikel Berkaitan:

"Bermula tahun hadapan, kita akan mengemas kini data dan jumlah rakyat yang berada dalam garis kemiskinan agar usaha yang bersasar dapat dilaksanakan secara lebih berkesan khususnya bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka," katanya.

Beliau berkata, usaha itu akan dilaksanakan secara bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Melaka menerusi pelbagai program yang akan dirangka. - Bernama