Perbaharui lesen elak dikompaun: MBSA

Shahrin Ahmad
Shahrin Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menggesa pemilik perniagaan memperbaharui lesen mengikut tarikh ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan kompaun.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya telah mula memproses pembaharuan lesen untuk tahun depan.

Menurutnya, tempoh tiga bulan sebelum tarikh akhir lesen telah diberikan kepada pemilik perniagaan untuk memperbaharui lesen premis masing-masing.

Katanya, pembaharuan lesen pada tahun depan melibatkan seramai 10,560 akaun.

“Pemilik yang lewat menjelaskan pembayaran selepas tarikh ditetapkan akan dikenakan caj pengaktifan sebanyak RM50 untuk lesen perniagaan (termasuk lesen anjing) dan RM100 bagi lesen perindustrian.

“Kos pentadbiran sebanyak 10 peratus daripada kadar lesen juga akan dikenakan selepas 30 hari dari tarikh lesen ditutup,” katanya.

Menurutnya, bayaran lesen boleh dibuat untuk tempoh satu, dua atau tiga tahun tertakluk kepada jenis lesen serta pembayaran boleh dilaksanakan secara tunai/cek/draf bank/kad kredit/ kad debit.

Beliau berkata, bagi memudahkan pemilik lesen membuat pembayaran, MBSA membuka kaunter pembayaran lesen di Kaunter Utama, Tingkat G, Wisma MBSA, Kaunter Jabatan OSC, Tingkat LG, Wisma MBSA dan Kaunter Jabatan Pelesenan, Tingkat 13, Wisma MBSA.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemilik juga boleh membuat bayaran di Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Seksyen U20; Pejabat Cawangan Kota Kemuning, Seksyen 31 dan Pejabat Cawangan Setia Alam, Seksyen U13, Shah Alam.

“Bermula Januari depan, notis pembaharuan lesen tidak lagi dihantar melalui pos. Semakan lesen boleh dibuat melalui sistem ePS. Pemilik lesen diminta untuk mendaftar sebagai pengguna ePS bagi membolehkan pengguna membuat semakan dan pembayaran lesen. Sila layari https://eps.mbsa.gov.my untuk pendaftaran ePS.

“Sebarang pertanyaan berkenaan pembayaran pembaharuan lesen boleh dibuat dengan menghubungi Jabatan Pelesenan MBSA di talian 0355105133 sambungan 1403,1485 atau 1702,” katanya.