Enam pertubuhan hadiri majlis anjuran PKM tidak berdaftar: ROS

Rabu lepas, Polis mengesahkan telah mengenal pasti sembilan persatuan yang terlibat dalam penganjuran Majlis Peringatan Perjanjian Damai Hatyai Anjuran Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang baru-baru ini. - Foto AWANI
Rabu lepas, Polis mengesahkan telah mengenal pasti sembilan persatuan yang terlibat dalam penganjuran Majlis Peringatan Perjanjian Damai Hatyai Anjuran Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang baru-baru ini. - Foto AWANI
A
A
A

PUTRAJAYA - Enam daripada sembilan pertubuhan yang menghadiri Majlis Peringatan Perjanjian Damai Hatyai Anjuran Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang pada 1 Disember lalu adalah pertubuhan tidak berdaftar.

Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) turut menyifatkannya sebagai Pertubuhan Yang Menyalahi Undang-Undang di bawah Seksyen 41(1)(b), Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] dan di bawah Seksyen 43 Akta yang sama.

“Akta itu menyatakan bahawa mana- mana orang yang didapati menjadi anggota sesuatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang adalah melakukan suatu kesalahan yang sekiranya disabitkan boleh dijatuhkan hukuman penjara.

“Adalah diingatkan bahawa setiap pertubuhan berdaftar hendaklah menjalankan aktiviti dan urusan-urusannya mengikut peruntukan perlembagaan berdaftarnya serta Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335],” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, tiga lagi pertubuhan yang menghadiri majlis tersebut disahkan berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

“Justeru, kami telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 66, Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] supaya ahli jawatankuasa pertubuhan tersebut hadir ke jabatan.

“Mereka perlu hadiri untuk memberi keterangan berkaitan penglibatan pertubuhan dalam majlis peringatan tersebut,” katanya.

Rabu lepas, Polis mengesahkan telah mengenal pasti sembilan persatuan yang terlibat dalam penganjuran Majlis Peringatan Perjanjian Damai Hatyai Anjuran Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya juga mengenal pasti empat individu yang memberi ucapan pada majlis tersebut.

Antaranya ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu, Editor Persatuan Persahabatan Abad ke-21, wakil PKM dan wakil Persatuan Kawan Karib Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN Sembilan persatuan anjur ulang tahun Perjanjian Damai Hatyai: Polis