Cubaan hidupkan komunis: Polis Selangor beri amaran tegas

Noor Azam
Noor Azam
A
A
A

SABAK BERNAM - Polis Selangor akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat sebarang usaha pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menghidupkan semula ideologi Parti Komunis Malaya (PKM).

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, beliau sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat usaha pihak tertentu yang cuba menghidupkan semula gerakan itu.

"Kita akan terus memantau dan tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka cuba mengkucar-kacirkan negara.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sabak Bernam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Noor Azam berkata, tindakan menghidupkan semula fahaman PKM dalam kalangan masyarakat hanya mengancam keselamatan negara.

"Negara kita sudah aman, janganlah ada pihak cuba memporak-perandakan dan mengambil kesempatan di atas ketenteraman yang kita kecapi selama ini," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat agar tidak terkeliru dengan fakta sejarah sebenar berhubung perjuangan PKM.

Sultan Sharafuddin bertitah, walaupun PKM dikatakan menentang penjajahan, namun perjuangan mereka bukan berlandaskan konsep pembentukan negara Malaysia merdeka yang berteraskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Artikel Berkaitan: