Ekonomi Malaysia suram, ini nasihat Anwar kepada kerajaan

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Dunia melalui laporannya, ‘21st Malaysia Economic Monitor - Making Ends Meet’ mendapati Malaysia kini sedang dirundung senario muram ekonomi global.

Justeru, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan kerajaan agar lebih tuntas dan tegas dalam memenuhi janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam membela mereka yang miskin dan terpinggir.

Menurutnya, semua isu disentuh dalam laporan berkenaan mampu ditangani dengan dasar ekonomi diperkenalkan PH namun ia memerlukan fokus dan iltizam yang jitu dalam melaksanakannya.

“Fokus dan iltizam yang jitu perlu untuk menanganinya kerana ia ternyata memberi kesan kepada ramai warga terutamanya golongan B40.

“Saya yakin keadaan lebih suram di kawasan desa seperti di Kelantan, Kedah dan Terengganu, serta di pedalaman Sabah dan Sarawak,” tulis beliau dalam laman Facebooknya hari ini.

Anwar menambah, dapatan dalam laporan tersebut sewajarnya meningkatkan kesedaran kepada kerajaan memerintah terutamanya dalam menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan rakyat.

“Saya juga ingin menggesa kerajaan memantau projek-projek pembangunan oleh kerajaan sebaiknya bagi memastikan tidak ada kebocoran dana kepada pihak-pihak yang tidak sepatutnya.

“(Memetik laporan) Nisbah tiga dalam sepuluh warga berasa kurang yakin dalam keupayaan mereka mendapatkan bekalan makanan.

Artikel Berkaitan:

Laporan tersebut juga menyatakan harga rumah ternyata ‘parah’ dan ‘membimbangkan’ di banyak wilayah di Malaysia.

“Tambahan pula kadar hutang yang tinggi serta kekurangan simpanan menambahkan lagi rasa gawat pada ramai rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menekankan cadangan laporan tersebut menyatakan perlunya ada komunikasi berkesan berhubung kejayaan dicipta kerajaan PH.

“Ia adalah aspek yang penting dalam membina keyakinan serta memastikan kejayaan dalam melaksanakan dasar-dasar yang diperkenalkan,” katanya.