Yeop giat adakan persiapan Unity Shield

Kesebelasan permulaan Perak, semalam.
A
A

IPOH - Juara Piala Malaysia 2018 Perak, giat mengadakan persiapan menjelang aksi sulung Unity Shield berdepan Kedah di Stadium Darulaman 13 Januari ini.

Ketua jurulatihnya, Mehmet Durakovic berkata, segala persiapan menjelang aksi berkenaan berjalan lancar dengan hampir kesemua pemain utama skuad The Bos Gaurus itu sudah pun kembali menyertai pasukan sekembalinya daripada bercuti.

Justeru menurutnya, besar kemungkinan skuad Kejor Yob Kejor itu akan kembali memiliki kesebelasan terbaik untuk beraksi kelak.

“Segala persiapan berjalan lancar setakat ini. Lagi pun ini adalah kali pertama kita akan berdepan Kedah pada saingan Unity Shield.

“Kita juga akan memberikan peluang kepada pemain-pemain kita terutamanya pemain tempatan untuk beraksi nanti,” katanya.

Durakovic berkata demikian ketika ditemui pada aksi persahabatan pra–musim berdepan PDRM di Stadium Perak, semalam yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Untuk rekod, Unity Shield Unity Shield adalah kejohanan tahunan bagi mengeratkan hubungan antara dua persatuan bola sepak terbesar di bahagian utara iaitu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan Persatuan Bolasepak Perak (Pafa).

Perlawanan Unity Shield bagi edisi sulung ini bakal berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 13 Januari ini dan kemudian di Stadium Perak pada tahun berikutnya.

Difahamkan, menerusi penganjuran Unity Shield ini, pihak KFA telah meletakkan sasaran untuk menyumbangkan 50 peratus daripada hasil kutipan jualan tiket kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) terpilih dalam negeri Kedah dan kaedah sama akan digunakan oleh Pafa sempena penganjuran Unity Shield di Ipoh pada tahun hadapan dan seterusnya.

Sementara itu Durakovic berkata, skuad Kejor Yob Kejor itu mungkin akan mengharungi beberapa lagi perlawanan persahabatan selepas ini bagi memberikan peluang kepada semua pemain terutamanya pemain muda untuk beraksi.

“Kita akan bermain sebanyak mana perlawanan persahabatan yang boleh. Lagi pun malam ini (semalam), semua pemain telah beraksi dengan baik. PDRM juga adalah satu pasukan yang baik.

“Secara keseluruhannya, saya gembira menyaksikan aksi pemain kerana kita akan melalui satu lagi musim yang panjang,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia