ZPP buka kaunter setiap hari sepanjang bulan ini

Pegawai ZPP menyampaikan bantuan kepada asnaf yang memerlukan.
Pegawai ZPP menyampaikan bantuan kepada asnaf yang memerlukan.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Semua cawangan pejabat Zakat Pulau Pinang (ZPP) akan dibuka setiap hari termasuk cuti umum pada bulan ini bagi memudahkan orang ramai melaksanakan kewajipan membayar zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, kebiasaannya ramai dalam kalangan masyarakat di negeri itu memilih untuk membayar zakat pada saat akhir atau hujung tahun sehingga menyebabkan kesesakan di kaunter.

Menurutnya, bagi memastikan keselesaan dan memudahkan urusan orang ramai, pihaknya membuka kaunter setiap hari bermula jam 8 pagi sehingga 4.30 petang namun untuk Sabtu dan Ahad serta cuti umum, kaunter akan dibuka bermula jam 9 pagi sehingga 3 petang.

Amran berkata, bagi cawangan ZPP di Air Itam dan Balik Pulau hanya akan dibuka pada minggu ketiga dan keempat untuk urusan pembayaran zakat.

 Amran Hazali
Amran Hazali

“Setiap tahun kita mendapati musim kemuncak masyarakat menunaikan tanggungjawab membayar di bulan Disember dan selalunya pada saat akhir sehingga menyebabkan kesesakan dan orang ramai terpaksa menunggu lama untuk berurusan.

“Oleh itu, kita minta masyarakat Islam di negeri ini agar membayar zakat lebih awal dan tidak menunggu di saat akhir atau mereka juga boleh membuat pembayaran zakat melalui perbankan online bagi memudahkan urusan,” katanya kepada Sinar Harian.

Amran berkata, umat Islam di negeri itu yang membayar zakat sebelum berakhirnya tahun ini akan mendapat rebat cukai pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun semasa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bermula Januari tahun depan, ZPP akan memperkenalkan kaedah yang lebih mudah dan efisien iaitu melalui Skim Potongan Gaji.

Amran berkata, pembayar zakat di negeri itu akan menerima faedah Skim Kafalah Mahabbah bermula pada tahun depan.

Beliau berkata, faedah itu merupakan skim khairat kematian atau satu tabung sumbangan ikhlas yang akan diberikan kepada waris sekiranya pembayar zakat meninggal dunia.

"Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang turut memberikan faedah skim berkenaan kepada penerima bantuan (asnaf) dan waris mereka akan dibayar RM1,000 sekiranya pembayar atau penerima zakat meninggal dunia," katanya.

ZPP memperuntukkan RM13.5 juta bagi memberikan bantuan saraan kewangan setiap bulan kepada asnaf.
ZPP memperuntukkan RM13.5 juta bagi memberikan bantuan saraan kewangan setiap bulan kepada asnaf.

Mengulas mengenai aktiviti dan bantuan yang diberikan kepada asnaf di negeri itu, Amran berkata, pihaknya menyediakan bantuan sara hidup bagi meringankan bebanan kewangan golongan fakir dan miskin.

Menurutnya, sepanjang tahun ini pihaknya memperuntukkan RM13.5 juta bagi memberikan bantuan saraan kewangan setiap bulan kepada asnaf.

Selain itu, pihaknya juga menyediakan bantuan rawatan dan perubatan bagi membantu meringankan beban golongan fakir dan miskin yang tidak mampu bagi menampung pembiayaan kos perubatan.

“Ia termasuk membekal peralatan kesihatan, membantu pesakit yang menghidapi penyakit kronik, meringankan kos pembedahan pesakit dan pengurusan Pusat Hemodialisis Zakat.

“Selain itu, kita juga menyediakan rumah transit saudara baharu atau dikenali Kompleks Darul Hidayah di Permatang Tok Gelam di Penaga sebagai penginapan yang menempatkan golongan mualaf yang tidak ada tempat untuk berlindung,” katanya.

Beliau berkata, di Kompleks Darul Hidayah, mualaf dapat mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam selain pelbagai aktiviti keagamaan diadakan antaranya kelas fardu ain dan kelas mengaji al-Quran.