Banjir bukan acara tahunan

No Image Caption
A
A
A

HUJAN rintik-rintik air bergelora... antara bait lagu kanak-kanak yang popular yang merujuk kepada keadaan hujan. Seronok nyanyi lagu ini ketika hujan. Tidak kira peringkat usia, baik yang tua dan muda mesti tahu lagu ini.

Seakan mengena pula lagu ini dengan musim hujan yang melanda negara sekarang, lebih- lebih lagi ketika akhir tahun di mana musim tengkujuh dan hujan luar biasa berlaku.

Di Johor daerah yang terjejas banjir setakat ini hanya di Batu Pahat dan Kota Tinggi.Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebelum ini telah mengeluarkan amaran berwaspada berikutan hujan dan angin kencang turut berlaku di daerah Mersing, Kulai dan Pontian.

Pada Ahad lepas, kejadian banjir yang disifatkan sebagai " luar biasa" sehingga ada jalan yang tidak dapat dilalui terutama untuk daerah Mersing.

Macam-macam video tular mengenai kejadian banjir di Kota Tinggi yang memaparkan kenderaan tersangkut dan tidak boleh lepas banjir di Kota Tinggi dapat disaksikan hanya di hujung jari.

Kota Tinggi yang berjiran dengan daerah Mersing antara daerah di negeri Johor yang kerap dilanda musibah banjir.

Bila tengok video kejadian banjir di Kota Tinggi, ramai netizen yang mengimbau kembali tragedi Kota Tinggi Tenggelam pada tahun 2006 yang disifatkan cukup tragis.

Kejadian banjir luar biasa yang sudah pun berlalu 13 tahun itu masih segar dalam ingatan penduduk Kota Tinggi kerana ia sejarah paling dasyat pernah berlaku ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Kata-kata doa dan semangat dititipkan netizen yang meninggalkan komen di bawah video tular terbabit.

Namun bagi penduduk, pastinya pengalaman berdepan banjir besar 2006 bukan perkara mudah untuk dilupakan, namun mereka tetap tabah dan sentiasa berdoa agar banjir besar tidak berulang.

Oleh itu tidak hairanlah, orang Kota Tinggi cukup peka dengan kejadian banjir dan sentiasa berwaspada sekiranya terdapat kemungkinan akan berlakunya banjir lebih- lebih lagi musim hujan.

Lima pusat pemindahan sementara ( PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di Kota Tinggi sejak Ahad lepas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah ( JPBD) Kota Tinggi berkata PPS dibuka terletak di Kolej Vokasional Kota Tinggi, Sekolah Jenis Kebangsaan ( SJKC) New Kota, Dewan Seri Teratai Batu 4, Sekolah Kebangsaan( SK) Mawai dan SK Teluk Ramunia.

Bilangan mangsa banjir mencecah lebih 700 orang direkodkan pada hari Ahad,Isnin, Selasa dan kemudian berkurangan secara berperingkat pada Rabu dan banjir pulih sepenuhnya pada Khamis.

Dua pusat PPS terakhir iaitu di Sekolah Kebangsaan ( SK) Ramunia dan Sekolah Kebangsaan ( SK) Mawai ditutup kira- kira jam 12.30 tengahari Khamis, memberi gambaran banjir di Kota Tinggi sudah pulih sepenuhnya.

Namun langkah berwaspada masih perlu diambil memandangkan cuaca pada masa sekarang tidak menentu, ditambah musim tengkujuh pada akhir tahun.

Ada yang menyifatkan banjir ini sebagai acara tahunan, namun bagi penduduk yang mengalaminya ia disifatkan sebagai bencana kerana mengakibatkan kerosakan harta benda dan lebih parah lagi ada nyawa yang terkorban.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut berkenaan mencemar duli melawat mangsa banjir di Dewan Kolej Vokasional Kota Tinggi pada Rabu.

Difahamkan baginda turut memandu kereta untuk pergi melawat kesemua mangsa yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berkenaan

Keprihatinan Sultan Ibrahim mencemar duli melawat mangsa banjir jmemberikan keceriaan kepada mangsa banjir yang rata- ratanya teruja berjumpa dengan baginda.

Pujian dan penghargaan juga seharusnya kepada anggota keselamatan seperti Pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ( APMM) kerana bertungkus - lumus membantu memindahkan penduduk dan memastikan keadaan kawasan banjir selamat.

Begitu juga agensi kerajaan lain seperti Kementerian Kesihatan, Pejabat Daerah, Jabatan kebajikan Masyarakat ( JKM) yang turut membantu.

Begitu juga dengan kerajaan negeri Johor yang segera menghulurkan bantuan dan membantu mangsa banjir.

Bencana banjir tidak dapat dielakkan namun sekiranya langkah awal diambil terutama berkait dengan sistem saliran tidak mustahil bencana banjir tidak berlaku.

Ada penduduk yang menggesa agar sistem perparitan di kawasan kediaman mereka dibaiki dan dinaiktaraf bagi membolehkan saliran air lebih baik ketika musim hujan.

Bukan hendak menuding jari kepada mana- mana pihak, namun ada lebih baik pandangan penduduk itu diberikan perhatian sewajarnya dengan tindakan penyelesaian diatur agar bencana banjir dapat dielak pada masa akan datang.

Apa-apa pun buat ibu bapa dan penjaga sentiasalah pantau anak- anak ketika musim banjir kerana banjir bukan acara tahunan untuk bersuka ria.