Misi bawa pulang kapsul dari Antartika sukar: Sharifah Mazlina

Mentor 'All Women's Expedition To Antartica (Aweta), Dr Sharifah Mazlina (dua dari kiri) bersama protegenya (dari kiri) Siti Jumaidah, Salehah dan Nurul Atiqah bergambar bersama Kapsul Masa 2030 yang diberi nama 'Semangat Malaysia Boleh Tun Dr Mahathir Mohamad' sebelum berlepas bagi menjayakan misi negara ke Kutub Selatan mulai 18 Disember sehingga 3 Januari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Foto: Bernama
Mentor 'All Women's Expedition To Antartica (Aweta), Dr Sharifah Mazlina (dua dari kiri) bersama protegenya (dari kiri) Siti Jumaidah, Salehah dan Nurul Atiqah bergambar bersama Kapsul Masa 2030 yang diberi nama 'Semangat Malaysia Boleh Tun Dr Mahathir Mohamad' sebelum berlepas bagi menjayakan misi negara ke Kutub Selatan mulai 18 Disember sehingga 3 Januari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

SEPANG - Misi ‘All Women Expedition to Antartika’ (AWETA) untuk membawa pulang kapsul yang ditanam di Antartika pada 2004 mungkin berdepan kesukaran disebabkan perubahan muka bumi, kata Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir.

Beliau yang merupakan individu yang bertanggungjawab menanam kapsul itu berkata, kedudukan kapsul itu mungkin telah berubah atau tenggelam selepas 14 tahun ditanam di Kutub Selatan.

"Secara jujurnya saya rasa hampir mustahil untuk tiga 'ratu ais' negara membawa pulang kapsul berkenaan walaupun itu antara misi utama ekspedisi ini dilakukan.

"Selain sudah tenggelam, kedudukan kapsul itu mungkin sudah berada dalam kawasan Pusat Penyelidikan Amerika Syarikat kerana saya menanamnya dalam jarak satu kilometer dari pusat itu dahulu," katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan misi itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Misi yang dijadual bermula pada 18 Disember ini hingga 3 Januari tahun hadapan itu melibatkan anggota Tentera Darat Malaysia Koperal Siti Jumaidah Bensali, 34, Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri Salehah Abu Nor, 33, dan ahli farmasi Nurul Atiqah Tamarun, 31 tahun.

Sharifah Mazlina bertindak sebagai mentor dan moderator. Turut hadir pada majlis pelepasan itu ialah Penaung AWETA Datuk Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah.

Menurut Sharifah Mazlina, pasukan itu akan tetap pergi ke lokasi kapsul itu ditanam dan mengambil gambar bersama kapsul terbaharu yang dibawa pada misi kali ini sebagai membuktikan usaha mereka untuk mencari dan membawa pulang kapsul berkenaan.

Mengenai misi menanam kapsul masa 2030 yang diserahkan Perdana Menteri yang dinamakan ‘Semangat Malaysia Boleh Tun Dr Mahathir Mohamad’, Sharifah Mazlina berkata, hasrat itu terpaksa dilupakan kerana tidak mendapat kebenaran oleh pihak Antartika.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pihak berkenaan baru-baru ini bahawa mengikut Akta Antartika, tiada sebarang objek dibenarkan ditanam di kawasan itu.

"Namun pihak sana memberi cadangan untuk kita membawa kapsul yang mengandungi mandat Perdana Menteri, Hishammuddin Zaizi dan saya untuk menangkap gambar ketika tiba di Kutub Selatan sebelum dibawa pulang," katanya. - Bernama