Hukuman mati dapat cegah rasuah

Amin bercakap kepada media di pekarangan pejabatnya. - Foto: Agensi
Amin bercakap kepada media di pekarangan pejabatnya. - Foto: Agensi
A
A
A

JAKARTA - Hukuman mati yang menjadi isu perdebatan di Indonesia adalah dibenarkan oleh agama dan boleh mencegah rasuah, menurut Naib Presiden Ma'ruf Amin.

"Meskipun banyak bantahan, hukuman mati sebenarnya dibenarkan.

"Banyak negara dan agama membenarkannya untuk jenayah tertentu yang tidak dapat ditangani secara berkesan melalui kaedah lain," jelas Amin seperti dilaporkan media kompas.com.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa hukuman mati hanya boleh dikuatkuasakan di bawah syarat-syarat yang ketat dan dalam kes luar biasa.

Menurutnya, hukuman tersebut boleh menjadi penghalang yang berkesan terhadap rasuah namun ia perlu diselaraskan dengan peruntukan Undang-Undang Rasuah 2001.

"Bagi saya hukuman itu adalah bentuk hukuman tertinggi yang dapat mencegah individu daripada melakukan jenayah," katanya.

Kenyataan tokoh agama itu dibuat sebagai tindak balas kepada perdebatan umum yang timbul berikutan cadangan Presiden Joko Widodo atau Jokowi bahawa hukuman mati boleh dikuatkuasakan untuk rasuah sekiranya orang awam menyokong idea tersebut.

Undang-undang 2001 membenarkan hukuman mati dikuatkuasakan dalam situasi tertentu seperti jika jenayah rasuah dilakukan apabila negara berada dalam bahaya termasuk semasa krisis ekonomi, kewangan atau bencana kebangsaan.

Meskipun terdapat gesaan daripada aktivis hak asasi manusia agar Indonesia menyertai senarai negara yang menghapuskan hukuman mati, negara itu terus menguatkuasakan hukuman terbabit untuk kesalahan dadah, pembunuhan dan keganasan. - Agensi

Artikel Berkaitan: