X

Kindly register in order to view this article
!

MAIPs terbit lagu Ratuku untuk promosi wakaf

Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kanan) ketika melancarkan lagu dan video muzik Ratuku oleh Khai Bahar sempena promosi wakaf bangunan Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengambil inisiatif menghasilkan sebuah lagu khas bertajuk Ratuku yang dinyanyikan anak seni kelahiran Perlis, Khai Bahar sebagai medium baharu mempromosi wakaf.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kemunculan lagu berkenaan diharap dapat meningkatkan peranan lebih signifikan dalam memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menyumbang khususnya melalui ibadah wakaf kepada MAIPs untuk merealisasikan projek Bangunan Wakaf MAIPs-Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, Perlis.

Baginda yang juga Yang Di Pertua MAIPs yakin mesej disampaikan menerusi sebuah video muzik khas bertemakan projek wakaf adalah usaha yang positif, yang akan dipromosikan menerusi sebaran media baharu, media elektronik dan media cetak.

“Insya-ALLAH, langkah yang digerakkan Jawatankuasa Pengurusan Wakaf MAIPs dengan pelbagai perancangan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap potensi dan kepentingan berwakaf dapat disampaikan kepada segenap lapisan masyarakat, merentasi sempadan agama dan bangsa,” titah baginda ketika berkenan berangkat melancarkan lagu dan video muzik Ratuku oleh Khai Bahar sempena Promosi Dana Wakaf Bangunan Wakaf MAIPs-Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) malam semalam.

Keberangkatan baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin turut melahirkan penghargaan buat seorang lagi anak kelahiran Perlis iaitu Dr Mohd Azrul Azlen Abd Hamid yang juga salah seorang Ahli Jawatankuasa Pengurusan Wakaf MAIPs yang menyumbang idea mencipta lirik dan melodi lagu Ratuku.

Setakat ini, MAIPs berjaya mengumpul dana wakaf tunai khas bagi projek Pusat Dialisis sebanyak RM2 juta berbanding kos keseluruhan projek berjumlah RM6 juta.

Pihaknya berharap penerbitan lagu dan video muzik itu dapat menjadi pemangkin ke arah meningkatkan kutipan dana wakaf tersebut sekaligus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap usaha baik ini dalam membantu mereka yang memerlukan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus