Gambia kecam sikap membisu Suu Kyi berhubung tuduhan genosid

Suu Kyi meninggalkan Peace Palace di The Hague pada hari terakhir perbicaraan tiga hari kes genosid terhadap Myanmar hari ini. - Foto: AFP
Suu Kyi meninggalkan Peace Palace di The Hague pada hari terakhir perbicaraan tiga hari kes genosid terhadap Myanmar hari ini. - Foto: AFP
A
A
A

THE HAGUE - Gambia hari ini menyelar sikap berdiam diri Aung San Suu Kyi berhubung nasib etnik Muslim Rohingya selepas penerima Anugerah Nobel Keamanan itu mempertahankan Myanmar terhadap tuduhan genosid di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Para peguam negara Afrika itu berkata, hujah Suu Kyi bahawa kempen ganas tentera Myanmar pada 2017 merupakan 'operasi pembersihan' yang menyasarkan militan mengetepikan dakwaan pembunuhan beramai-ramai, rogol dan pengusiran secara paksa.

"Sikap membisu anda membuktikan lebih daripada kata-kata anda. Perkataan rogol tidak sekali pun meniti di bibir anda," kata peguam Gambia, Philippe Sands kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) merujuk kepada Suu Kyi yang bertindak selaku ejen Myanmar dalam kes berkenaan.

Gambia membawa Myanmar ke muka pengadilan di The Hague atas dakwaan melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948 dan menuntut langkah kecemasan bagi melindungi etnik Rohingya.

Pernah diiktiraf sebagai ikon hak asasi antarabangsa kerana menentang junta Myanmar, reputasi Suu Kyi tercemar berikutan keputusannya menyebelahi tentera dalam krisis Rohingya.

Penasihat Negara Myanmar itu menggunakan kesempatan ketika kemunculan di The Hague semalam bagi menyatakan tiada niat genosid di sebalik operasi yang menyebabkan 740,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Suu Kyi mempertahankan tindakan Myanmar dengan alasan ia berdepan konflik dalaman dan pihak tentera menjalankan operasi pembersihan selepas serangan oleh militan Rohingya pada Ogos 2017.

Sementara itu, Paul Reichler, seorang lagi peguam Gambia mempersoalkan mereka yang terbunuh termasuk bayi yang dipukul mati atau dipisahkan dari ibu mereka sebelum dicampakkan ke dalam sungai lalu lemas.

Artikel Berkaitan:

"Konflik bersenjata tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk genosid," kata Reichler sambil menambah Suu Kyi gagal menafikan keputusan penyiasatan PBB tahun lalu yang mengatakan genosid telah berlaku di Myanmar terhadap etnik Rohingya.

Keputusan berhubung langkah itu mungkin mengambil masa berbulan-bulan manakala keputusan akhir, sekiranya ICJ memutuskan untuk mengadili kes secara keseluruhan akan mengambil masa bertahun-tahun. - AFP