X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Negaraku berkumandang di Poland

Joffey merakamkan gambar bersama ayahnya, Jolly selepas muncul juara pada Kejohanan Gusti Lengan Dunia IFA 2019 Rumia, Poland pada 6 Disember lalu.
A
A

KOTA KINABALU - Atlet gusti lengan negara, Joffey Jolly menamatkan penantian pingat emas buat Malaysia pada Kejohanan Gusti Lengan Dunia IFA 2019 Rumia, Poland dengan memenangi acara senior 70 kilogram (kg) kanan di sini pada 6 Disember lalu.

Joffey, 26, anak kelahiran Sabah itu muncul juara selepas menewaskan peserta Ukraine, Yurii Dushko.

Pingat emas ini adalah yang pertama dimenangi oleh seorang atlet Malaysia di kejohanan gusti lengan dunia.

Joffey yang turut memenangi gangsa dalam kategori tangan kiri pada pertandingan itu mengakui dia tidak menyangka akan memenangi emas pada kejohanan sulung peringkat dunia itu.

“Saya tidak pernah menjangka akan memenangi emas pada tahun ini. Ia sepatutnya hanya pengalaman pembuka mata buat saya menentang atlet terbaik dari seluruh dunia dalam kejohanan ini.

“Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya dalam sukan ini terutamanya bapa saya.

"Saya akan cuba mempertahankan gelaran saya pada tahun depan untuk menaikkan nama negara ini sekali lagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Joffey ketika menentang Dushko. - Foto Mark Kazus
Joffey ketika menentang Dushko. - Foto Mark Kazus

Selain Joffey, atlet lain yang turut bersaing dalam kejohanan dunia itu juga membawa pulang tiga lagi pingat perak dan satu gangsa.

Safuan Mohd Asif dari Putrajaya memenangi perak dalam kategori tangan kanan Lelaki Senior 57kg dan satu gangsa dalam kategori tangan kiri, sementara atlet dari Sarawak, Abigail Kee Zing Ning menyampaikan dua perak dalam kategori Perempuan Junior Bawah-15.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Gusti Lengan Sabah (Sawa), Jolly Johnson yang juga merupakan ayah Joffey berkata, beliau berbangga dan gembira dengan pencapaian yang diperolehi anaknya walaupun sebelum ini pihaknya tidak menyasarkan sasaran untuk memenangi pingat emas.

“Saya sangat bangga dengan dengan kejayaan di Poland. Terima kasih diucapkan kepada pengurus pasukan dan Presiden Persatuan Gusti Lengan Malaysia, Mohd Zil Fadli atas usahanya untuk memastikan pasukan dapat bersaing pada kejohanan itu.

“Kejayaan ini membuktikan latihan lima hari seminggu yang kami jalani selama dua bulan tidak sia-sia dan tahniah juga kepada Safuan Asif dan Abigail Kee kerana memenangi perak dan gangsa untuk pasukan,” katanya.

Pencapaian ini merupakan sejarah buat Malaysia.
Pencapaian ini merupakan sejarah buat Malaysia.

Dalam pada itu, Persatuan Gusti Lengan Malaysia (MYARM) turut berkongsi video perlawanan terakhir Joffey menentang Dushko yang kini tular di media sosial meraih 22,00 tontonan.

"Tahniah kepada Joffey, anda telah mengharumkan dan membuktikan rakyat Malaysia sememangnya boleh dan hebat di mata dunia. Terima kasih Joffey kerana berjaya membawa emas buat Malaysia pada kejohanan tersebut," tulis Naim Daim di Facebook.

Kejohanan Gusti Lengan Dunia IFA 2019 1st FINAL! Joffey Jolly (Malaysia) vs Ukraine

Posted by Malaysia Armwrestling Federation - MYARM on Saturday, December 7, 2019

Lagu NEGARAKU berkumandang di tanah Poland! Malaysia Boleh!!! KBSMalaysia Majlis Sukan Negara Malaysia

Posted by Malaysia Armwrestling Federation - MYARM on Friday, December 6, 2019


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!