Netanyahu lepas jawatan menteri, kekal jadi PM

Benjamin Netanyahu
Benjamin Netanyahu
A
A
A

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berdepan tuduhan jenayah dan bakal menghadapi pilihan raya umum ketiga dalam tempoh 12 bulan akan meletak jawatan daripada jawatan menteri lain yang dipegangnya.

Menurut peguamnya hari ini, beliau bagaimanapun akan kekal memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Beliau akan melepaskan jawatan itu berkuatkuasa 1 Januari 2020 dan melantik menteri lain," kata peguamnya, Avi Halevy dan Michael Rabello.

Pengumuman dikemukakan kepada Mahkamah Agung itu dibuat selepas Knesset dibubarkan dan tarikh menetapkan pemilihan pusingan baharu itu dibuat.

Mahkamah itu turut menerima petisyen daripada Gerakan Kualiti Kerajaan di Israel (MQG) yang menuntut pemimpin Parti Likud itu melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pertanian, Diaspora, Kesihatan dan Kebajikan.

MQG dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu 'tidak cukup' dan turut menyifatkan kepimpinan berterusan beliau adalah perkara memalukan kepada Israel.

Bulan lalu, Peguam Negara, Avichai Mandelblit mendakwa Netanyahu dengan tuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah dalam tiga kes rasuah secara berasingan.

Undang-undang Israel menetapkan menteri yang berdepan tuduhan jenayah supaya meletak jawatan, namun peruntukan sedemikian tidak dikenakan terhadap perdana menteri.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, Netanyahu belum mengumumkan sama ada beliau akan meminta imuniti di Knesset untuk mengelakkan sebarang pendakwaan.

Pilihan raya ketiga dijadualkan pada 2 Mac 2020 selepas Netanyahu dan pesaingnya, Benny Gantz daripada Parti Biru dan Putih gagal untuk membentuk kerajaan gabungan selepas pemilihan pada September lalu. - AFP