X

Kindly register in order to view this article
!

SPRM akan buka semula lebih 10 kes lama: Latheefa

Latheefa ketika berucap dalam Forum 'Unmasking The Corrupt Through Beneficial Ownership Transparency hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka semula dan menyiasat lebih 10 kes lama membabitkan rasuah, termasuk yang berprofil tinggi, kata Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya.

Beliau berkata, terdapat banyak siasatan telah ditutup selepas ia dianggap sebagai ‘tiada kes’.

“Kenapa ia ditutup sedangkan orang terus memberitahu saya bahawa terdapat kes, jadi saya perlu menangani hal ini.

“Saya perlu meneliti semula fail berkenaan dan lihat sama ada ia ditutup dengan cara yang betul,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum bertajuk ‘Unmasking The Corrupt Through Beneficial Ownership Transparency' di sini hari ini.

Latheefa bagaimanapun enggan mendedahkan bilangan kes berprofil tinggi yang ditutup kerana ia akan mengganggu siasatan dan kemungkinan fail terlibat boleh hilang.

“Kes-kes ini mempunyai kepentingan awam. Ia tidak boleh dikongsi kerana tidak akan membantu siasatan,” katanya dan menambah beliau sedang meneliti lebih banyak kes sedemikian.

“Kami (SPRM) melakukannya sendiri kerana (tempoh) jawatankuasa terdahulu (untuk mengkaji semula kes berkenaan) telah tamat. Jadi, kami akan menyiasatnya dahulu sehingga satu jawatankuasa baharu dibentuk,” katanya.

Beliau berkata, tiada tempoh masa ditetapkan untuk SPRM mengkaji semula kes terbabit.

Semalam, selepas menjadi tetamu dalam program ‘Wanita Sebagai Pemimpin’ di Bernama Radio, beliau berkata, SPRM akan membuka semula kes lama membabitkan kepentingan awam pada awal tahun hadapan.

Latheefa berkata, beliau sudah mengeluarkan arahan supaya kes berkenaan disemak semula dan SPRM memang ada menerima beberapa aduan membabitkan kes seperti itu.

Mengenai perkembangan lain, Latheefa berkata, masih terlalu awal untuk mengulas mengenai peningkatan pendapatan dan nilai aset Ahli Parlimen dalam pengisytiharan harta mereka kepada SPRM baru-baru ini.

"Jadi, kami belum lagi mengumpul dan membandingkan dengan data sebelumnya. Kami perlu melihat (apa-apa) kenaikan pendapatan dan liabiliti.

"Kami mempunyai pasukan untuk mengesahkan pendapatan yang telah diisytiharkan. Ia akan mengambil masa kerana melibatkan 130 Ahli Parlimen (Pakatan Harapan),” katanya.

Beliau turut menegaskan sesiapa yang mempunyai kecurigaan mengenai aset Ahli Parlimen boleh mengemukakan aduan berhubung perkara itu.

“Setakat ini, SPRM belum menerima apa-apa aduan,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus