MPSP pasang 8 CCTV

Michael (kiri) menunjukkan monitor CCTV yang mengawasi kawasan Kompleks Sukan dan Rekreasi Jalan Betek.
Michael (kiri) menunjukkan monitor CCTV yang mengawasi kawasan Kompleks Sukan dan Rekreasi Jalan Betek.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Bagi mengelakkan kejadian vandalisme dan kecurian berulang di Kompleks Sukan dan Rekreasi Jalan Betek, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah memasang lapan unit kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi kawasan berkenaan.

Ahli Majlis MPSP, Michael Tan berkata, sejak kebelakangan ini pihaknya menerima banyak laporan mengenai kejadian kehilangan motosikal pengunjung selain kes pecah cermin kereta yang berlaku di kawasan rekreasi di sini.

Menurutnya, kompleks sukan yang menempatkan pelbagai kemudahan ini menjadi tumpuan orang ramai setiap hari dan menjadi tanggungjawab pihak MPSP untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk orang ramai beriadah.

"Di sini terdapat kolam renang, trek joging, taman tema mini, padang bola sepak, kafe dan mini stadium yang sentiasa dipenuhi oleh penduduk yang datang dari sekitar Bukit Mertajam.

"Sudah semestinya mereka mahu melakukan aktiviti di sini dengan tenang dan selamat.Kita berharap dengan pemasangan CCTV di sini dapat mengurangkan kadar jenayah yang berlaku di sini sekaligus dapat menjamin keselamatan orang ramai," katanya ketika membuat lawatan di sini semalam.

Michael berkata, sebanyak dua unit CCTV dipasang di hadapan pintu masuk utama kompleks berkenaan manakala enam lagi dipasang di kawasan parkir, astaka dan beberapa kawasan strategik di kompleks berkenaan.

Turut disediakan dua monitor yang mengawasi kawasan berkenaan selama 24 jam.

Katanya, kesemua kos pemasangan CCTV berkenaan menelan belanja sebanyak RM18,200 yang menggunakan peruntukan beliau sebagai ahli majlis.

Artikel Berkaitan:

"Kini pengunjung dapat beriadah tanpa perlu risau akan keselamatan diri dan kenderaan yang diletakkan di sini lagi," katanya.