Penduduk Kampung Melayu Puncak Kundang diberi tawaran Rumah Selangorku

Sallehudin (dua dari kanan) mengadakan perbincangan bersama wakil penduduk berhubung isu perobohan tersebut di pejabatnya hari ini.
Sallehudin (dua dari kanan) mengadakan perbincangan bersama wakil penduduk berhubung isu perobohan tersebut di pejabatnya hari ini.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Penduduk Kampung Melayu Puncak Kundang akan diberikan tawaran Rumah Selangorku susulan daripada isu perobohan yang berlaku baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Sallehudin Amiruddin berkata, terdapat dua opsyen pilihan Rumah Selangorku yang ditawarkan kerajaan negeri kepada penduduk terlibat iaitu melalui proses pinjaman atau 'rent to own'.

Beliau berkata, Rumah Selangorku tersebut telah siap dibina dan terletak di kawasan Kundang Estates.

"Melalui skim 'rent to own', hanya Selangor melaksanakan inisiatif ini dan mereka boleh duduk di rumah tersebut mengikut jumlah bayaran dipersetujui di mana akhirnya kediaman berkenaan akan menjadi milik mereka," katanya selepas sesi perbincangan bersama penduduk terlibat di pejabatnya hari ini.

Mengulas lanjut Sallehudin berkata, pihaknya juga akan mengadakan rundingan bersama pemaju bagi meminta supaya proses perobohan tersebut dapat ditangguhkan buat sementara waktu.

Sallehudin berkata, beliau juga akan merayu bagi pihak penduduk agar bekalan elektrik di rumah-rumah kediaman yang masih belum dirobohkan dapat disambung semula dengan kadar segera.

"Mengikut maklumat pemaju, terdapat 23 struktur binaan yang terlibat dan 15 struktur telah dirobohkan.

"Jadi kita akan runding lagi selepas ini bagi meminta pemaju mempertimbangkan perkara tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, wakil penduduk, Siti Nor Aminah Md Nafi berkata, pihaknya tidak dapat memberi sebarang kata putus menerusi perbincangan bersama Sallehudin tersebut.

Katanya, penduduk berharap agar ADUN kawasan berkenaan dapat menjadi orang tengah dengan mengadakan sesi perbincangan lain selepas ini melibatkan semua pihak berwajib.

"Kami tak minta bulan bintang dan kami juga tak minta busut. Kami tiada halangan untuk pindah asalkan munasabah," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penduduk Kampung Melayu Puncak Kundang Kuang buntu selepas pelbagai usaha dilakukan untuk mempertahankan rumah yang diduduki mereka sejak 16 tahun lalu tidak mendapat perhatian mana-mana pihak.

Sebanyak 15 struktur rumah telah dirobohkan sementara 55 yang lain telah dipotong bekalan elektrik, hanya menunggu masa untuk dirobohkan pada bila-bila masa.

ARTIKEL BERKAITAN:

Roboh rumah: ADUN Kuang dijangka berjumpa penduduk esok