X

Kindly register in order to view this article
!

Forum tak selesaikan isu tanah kekal: Saarani

Saarani Mohamad
A
A

IPOH - Penganjuran forum membincangkan isu pemberian hak milik tanah kekal kampung baharu tidak akan menyelesaikan isu tersebut kerana ia berkait dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari seharusnya mencabar keputusan yang ditetapkan Majlis Tanah Negara (MTN) mengenai pemberian hak milik kekal sebelum dilaksanakan di kampung-kampung baharu.

Menurutnya, Exco kerajaan negeri itu juga perlu meminta kerajaan pusat meminda Perlembagaan Persekutuan yang menubuhkan Majlis Tanah Negara (MTN) jika mahu merealisasikan hasrat memberikan hak milik kekal tanah itu.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak itu juga berkata, sebarang forum tidak akan menyelesaikan isu berkenaan kerana ia berkait dengan Perlembagaan Persekutuan.

"MTN ditubuhkan mengikut Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan, apa-apa keputusan yang dibuat adalah berdasarkan perlembagaan dan tidak boleh dipinda.

"Jika ia mahu diubah, Abdul Aziz perlulah mencabar di mahkamah ataupun membawa isu ini ke Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Aziz yang mahu pertemuan atau forum diadakan bagi menjelaskan kekeliruan mengenai pelaksanaan hak milik kekal tanah kampung baharu yang dikatakan bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu hak milik kekal: Aziz Bari ajak Saarani berforum

Saarani berkata, dalam Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan menubuhkan MTN untuk menguruskan hal ehwal tanah.

Katanya, di bawah Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan juga jelas menyatakan kerajaan persekutuan dan negeri hendaklah mengikut dasar yang dibentuk oleh majlis itu.

Saarani juga mengingatkan Aziz tentang di bawah Perkara 3 Pekelililing Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bilangan 1/2018, Majlis Tanah Negara yang ke-42 dan ke-53 telah memutuskan supaya tempoh pajakan bagi kampung-kampung baharu dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun dan tempoh pajakan tidak melebihi 90 tahun.

"Abdul Aziz juga mesti melihat sejarah dan memahami isu pemberian hak milik 999 tahun pada tahun 2008 ketika kerajaan 11 bulan Pakatan Rakyat," katanya.

Sebelum ini, isu pemberian hak milik kekal tanah kampung baharu mencetuskan polemik dari segi pelaksanaannya apabila pembangkang menganggap perkara tersebut bercanggah dengan perlembagaan.

Saarani dalam kenyataan sebelum ini menjelaskan pemberian hak milik kekal tanah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar ketetapan Mesyuarat MTN ke-73.

ARTIKEL BERKAITAN: Hak milik kekal tanah: Jangan cabul Perlembagaan

Isu tersebut kembali hangat diperkatakan apabila Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menuntut supaya janji yang termaktub di dalam manifesto tersebut dilaksanakan segera ketika Konvensyen DAP Perak yang berlangsung bulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: DAP Perak tuntut janji hak milik kekal kampung baru

Pada 13 Ogos 2018, Ahmad Faizal ketika menggulung perbahasan atas Titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 menjelaskan pihaknya tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung baharu itu kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada 25 April 1997 menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus