X

Kindly register in order to view this article
!

'Kelantan sudah ada pasukan sendiri'

Mohd Amar (tengah) menerima sijil pencapaian daripada Mohd Azanuddin di Kompleks Kota Darul Naim, Kelantan hari ini.
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan beranggapan tiada keperluan untuk menempatkan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat Menteri Besar bagi meningkatkan integriti.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri sudah menubuhkan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus termasuk audit dalaman selain dipantau SPRM dan Jabatan Audit Negara.

Menurutnya, itu semua sudah memadai di samping keterbukaan kerajaan Kelantan yang sentiasa mendapat pandangan dan merujuk kepada SPRM dalam setiap perkara.

“Bagi kita, tiada keperluan mahupun dicadangkan SPRM semua yang ada sudah cukup untuk memantau dan pastikan supaya pentadbiran dan pengurusan negeri berjalan sebagaimana ditetapkan undang-undang,” katanya kepada pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas kesediaan SPRM menempatkan pegawai kanannya di Pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi memperkasa integriti serta membendung perkara berkaitan rasuah di peringkat kerajaan negeri.

Terdahulu, Mohd Amar merasmikan sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim yang turut dihadiri Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, Datuk Shahidani Abd [email protected] dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil memaklumkan usaha itu adalah inisiatif diperkenalkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Amar berkata, kerajaan negeri berjaya mengekalkan sifar rasuah sejak Pas memerintah Kelantan.

“Antara faktornya ialah kesedaran semua kakitangan kerajaan negeri yang bukan sahaja bekerja demi mendapatkan gaji bahkan mereka menyedari batasan dan perkara yang bertentangan dengan agama Islam,” katanya.

Pada majlis itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan menjadi pejabat pertama di Malaysia mendapat Sijil MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Risiko yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Sirim QAs International Sdn Bhd, Mohd Azanuddin Salleh.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!