X

Kindly register in order to view this article
!

Hajat dua warga Indonesia pulang kampung tak tercapai

Lokasi tiga warga asing ditahan
A
A

KOTA TINGGI - Hajat dua lelaki warga Indonesia untuk pulang ke kampung halaman melalui laluan haram tidak kesampaian selepas ditahan pihak berkuasa dalam satu serbuan di sebuah rumah di Teluk Ramunia, di sini awal pagi semalam.

Lebih malang, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, kedua-dua warga asing itu turut berputih mata kerana telah membelanjakan wang sebanyak RM3,000 sebagai tambang untuk keluar daripada negara ini melalui jalan laut.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, pihaknya juga turut menahan seorang lagi lelaki warga Indonesia dipercayai tekong yang menguruskan perjalanan keluar dua warga asing terbabit.

"Ketiga-tiga warga asing yang ditahan berusia dalam lingkungan 23 hingga 28 tahun. Siasatan awal dijalankan mendapati kesemua suspek dalam proses untuk keluar dari negara menggunakan jalan tidak diwartakan.

"Berdasarkan keterangan tekong ini, dia juga telah mengenakan bayaran sebanyak RM3,000 bagi setiap seorang yang mahu dibawa keluar dari Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahsmon berkata, siasatan berhubung kejadian itu sedang dilakukan selain tidak menolak kemungkinan terdapat banyak lagi migran yang turut mendapatkan khidmat tekong terbabit untuk dibawa masuk atau keluar dari negara ini.

"Tekong disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan kini diarahkan menjalani perintah reman selama 28 hari sehingga 7 Januari 2020 mengikut Akta Kesalahan Keselamatan 2012 (SOSMA).

"Manakala, dua suspek lain pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Kedua-dua mereka juga turut diarahkan menjalani perintah reman selama 14 hari sehingga 24 Disember ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus