'Malaysia Baharu dah jadi Malaysia haru-biru'

Mohamad
Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - "Apalah nak jadi dengan Malaysia Baharu ni. Dah jadi Malaysia haru-biru."

Itu reaksi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan merujuk kepada senario politik negara mutakhir ini membabitkan pertelingkahan dalaman parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Menurut Mohamad Hasan, perpecahan yang berlaku itu luar biasa kerana bermula di peringkat atasan hinggalah akar umbi selain dicemari dengan skandal dan ‘power play’ yang berkisar kepada perebutan kuasa dalam kerajaan.

"Mereka bergaduh mengenai milik siapa jawatan Perdana Menteri dan sampai bila? Siapa punya skandal lebih buruk dan hangat sensasi?

ARTIKEL BERKAITAN: Hentikan persengketaan, rakyat sedang memerhati: Muhyiddin

"Ketika Perhimpunan Agung UMNO 2019 berjalan dengan baik, kita lihat parti lawan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) berantakan sehingga ada yang 'berbalut kepala'.

"Yang amat membimbangkan kita ialah pergaduhan ini sudah mula membabitkan menteri-menteri dari PKR yang sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian untuk membangunkan negara. Jadi, apa akibatnya kepada rakyat dan negara?," katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Tambah beliau, pertelingkahan berkenaan pastinya mewujudkan persepsi bahawa Malaysia kini berada pada tangan yang salah, apatah lagi ia tidak melibatkan soal kepentingan rakyat ataupun usaha membantu kehidupan masyarakat di peringkat bawah yang tidak mendapat bantuan mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin melambung tinggi.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya, sejak perubahan pentadbiran negara, pelabur asing telah meninggalkan Bursa Malaysia melibatkan pelaburan berbilion ringgit, menjadikan prestasi Bursa Malaysia sebagai antara yang terburuk di dunia sepanjang setahun ini.

Malah katanya, berdasarkan laporan portal berita, sejumlah RM700.2 juta dana asing meninggalkan Bursa Malaysia minggu lalu dan sepanjang 2019 sehingga minggu lepas pula, jumlah yang keluar adalah melebihi RM10 bilion.

"Adalah menyedihkan melihat perselisihan berkenaan bukannya bertujuan untuk mencari jalan mengatasi kejatuhan nilai ringgit dan pasaran saham atau mencari sebab mengapa hutang negara terus meningkat tanpa hala tuju jelas," katanya.