Abe Ngoh pergi jua...

Laporan Sinar Harian berkaitan kisah Abe Ngoh.
Laporan Sinar Harian berkaitan kisah Abe Ngoh.
A
A
A

TANAH MERAH - Pengorbanan seorang ibu menjaga anak lelaki yang terlantar akibat kemalangan dua tahun lalu berakhir selepas remaja tersebut meninggal dunia petang semalam.

Mohd Amier Firdaus Mohd Hijazi, 18, atau lebih mesra disapa Abe Ngoh meninggal dunia di Hospital Tanah Merah selepas hampir sebulan menerima rawatan.

Abe Ngoh sebelum ini hanya mampu terlantar di rumahnya selepas terlibat dalam kemalangan sejak dua tahun lalu dan dijaga sepenuhnya oleh ibunya, Raja Rasiah Raja Ibrahim, 48 tahun.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Rasiah mempunyai masalah jantung dan kebas tangan kanan manakala suami, Mohd Hijazi Ismail, 56, juga tidak mampu melakukan kerja berat ekoran mengalami penyakit kencing manis kronik.

Namun itu bukan alasan kepada pasangan tersebut untuk menjaga Abe Ngoh yang terlantar tidak seperti kanak-kanak lain.

Raja Asiah ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu, Abe Ngoh mula dimasukkan ke hospital selepas gagal membuang air besar sejak 16 November lalu.

"Selepas seminggu, semuanya kembali normal. Saya pun minta izin dengan doktor untuk bawa Abe Ngoh pulang memandangkan keadaannya sangat baik dan positif.

"Ketika itu adik perempuan Abe Ngoh juga sedang menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tapi doktor kata nanti dulu, tengok dua tiga hari selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Tapi keadaan berubah selepas itu apabila badan Abe Ngoh mula keluar darah dan keadaan Abe Ngoh bukan sebagaimana yang sebelum itu. Abe Ngoh dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Selepas 10 hari berada di ICU, Raja Rasiah semakin buntu apabila keadaan Abe Ngoh masih tidak berubah dan ketika itu beliau sudah memikirkan adakah ini pengakhiran anak keduanya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu kena kuat demi Abe Ngoh

Demimu Abe Ngoh

"Doktor panggil dan beritahu jika mahu bawa pulang, saya perlu sediakan oksigen. Saya pun keluar dari bilik ICU untuk berbincang dengan bapanya. Namun doktor memanggil saya sekali lagi mengatakan arwah semakin tenat.

"Saya redha dengan semua ini. Namun saya masih terbayang arwah di depan mata sebab sayalah yang menjaganya 24 jam walaupun saya sibuk di kedai mee sup. Hasil berniaga itu juga bantu saya dan suami jaga Abe Ngoh.

"Mohon doa seluruh rakyat Malaysia semoga Abe Ngoh tenang di sana, Insya-ALLAH. Terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan selama ini," katanya.